HomePendidikanMARA akan bangunkan pusat pembangunan AI

MARA akan bangunkan pusat pembangunan AI

KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan membangunkan pusat pembangunan kecerdasan buatan (AI) dengan menggabungkan kepakaran institusi pendidikan tinggi kendaliannya.

Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata beliau sudah mengarahkan Universiti Kuala Lumpur (UNIKL) untuk menerajui pembangunan pusat berkenaan.

Katanya, pusat pembangunan itu akan dibangunkan selaras dengan aspirasi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu melihat institusi pendidikan tempatan mempunyai pusat pembangunan khusus dalam bidang AI.

“Perdana Menteri ada menyebut beberapa kali perkara ini, malah dalam lawatannya ke luar negara, ada satu universiti khas mengenai AI ini di Dubai. Jadi, beliau mahu institusi pengajian tinggi dalam negara yang boleh memfokuskan kepada AI ini.

“Saya menyatakan di MARA kita sudah ada institusi yang boleh digemblengkan dalam bidang AI dan saya arahkan UNIKL bekerjasama bukan saja dengan UPTM tetapi institusi lain MARA yang menawarkan bidang yang terkait dengan AI,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Konvokesyen Pertama Universiti Poly-Tech Malaysia UPTM di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, hari ini.

UPTM menempa sejarah meraikan graduan sulungnya yang menyaksikan 2,315 graduan diraikan membabitkan empat graduan Ijazah Doktor Falsafah (PhD), 38 graduan Ijazah Sarjana, 1,038 graduan Ijazah Sarjana Muda, 62 penerima Diploma Pascasiswazah Pendidikan, 36 graduan pengajian profesional dan 957 penerima diploma.

Di majlis sama, UPTM menganugerahkan Ijazah Kehormat kepada bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Wahid Omar.

Asyraf Wajdi berkata, beberapa institusi Pendidikan MARA sudah ada kepakaran dalam bidang AI tertentu seperti robotik dan keselamatan siber.

“Dalam sebulan dua ini, pusat pembangunan AI ini akan direalisasikan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, katanya, tahap kebolehpasaran graduan institusi pendidikan tinggi MARA berada pada tahap yang baik.

Pada masa sama, katanya, MARA menyediakan persekitaran yang membolehkan graduan institusinya terbabit dalam bidang keusahawanan.

“Seperti di UPTM, tahap kebolehpasaran graduannya baik seiring dengan kelulusan profesional d pasaran kerja dan kita galakkan mereka terbabit dalam bidang keusahawanan yang mana MARA ada ekosistem kukuh membantu golongan usahawan,” katanya.

Beliau berkata, MARA juga merancang untuk menghantar lebih ramai graduan di institusi pendidikan untuk menjalani latihan industri di luar negara.

“Pada masa ini kita sudah ada kerjasama dengan industri di Jepun dan kini kita jalin kerjasama dengan pengusaha industri di Jerman supaya mereka diberikan latihan kemahiran di negara itu,” katanya.

Sementara itu, di majlis konvokesyen yang sama, UPTM menganugerahkan Graduan Keluarga UPTM kepada keluarga Dr Noor Aziah Abu Bakar yang mana beliau bergraduasi bersama dua anaknya, Ahmad Nur Iman Ahmad Fauzi dan Nur Aisyah Amani Ahmad Fauzi.

Noor Aziah menerima PhD dalam Pengurusan Perniagaan, manakala Ahmad Nur Iman menerima Ijazah Sarjana Pengurusan Perniagaan manakala Nur Aisyah menerima Diploma Perakaunan. – Berita Harian

Authors

Pilihan Editor