IBARAT sudah jatuh ditimpa tangga. Demikian nasib malang menimpa seorang wanita di China yang bukan sahaja dipaksa berhutang melakukan pembedahan plastik, malah turut diperdaya syarikat tempat dia bekerja.
Kejadian itu bermula apabila wanita dikenali sebagai Chen menerima jawatan sebagai penyambut tetamu di sebuah syarikat pembedahan kosmetik pada 21 November lalu dan ditawarkan dengan gaji sebanyak 4,100 yuan (RM2,660) sebulan.
Selepas menandatangani surat tawaran, dua kakitangan syarikat itu bertindak memaksanya untuk menjalani pembedahan kosmetik, dengan alasan ia akan meningkatkan prospek kerjayanya.
Chen yang ketika itu cuba menolak desakan tersebut menegaskan bahawa, dia masih belum menamatkan pengajian di universiti dan tidak mampu melakukan pembedahan plastik.
Namun, apabila dia cuba menjelaskan kekangan kewangan itu, rakan sekerjanya masih terus mendesaknya untuk membuat pinjaman dengan pelan ansuran.
Wanita itu akhirnya termakan pujukan untuk mendapatkan perundingan kecantikan di klinik lain, dipercayai berkait rapat dengan syarikat tempat dia bekerja.
Di klinik itu, dia membuat pinjaman sebanyak 25,000 yuan (RM16,214) untuk melakukan pembedahan hidung serta memerlukannya menjelaskan hutang dalam tempoh dua tahun akan datang.
“Semuanya berlaku dengan pantas sehingga saya tiada peluang untuk menolak (pujukan),” katanya seperti dilapor South China Morning Post.
Ketika kembali bekerja selepas melakukan operasi pembedahan, jawatan Chen di syarikat itu serta-merta ditukar.
Bermula daripada penyambut tetamu, dia kemudian diarahkan untuk menggalas jawatan sebagai perunding kecantikan.
Pada masa sama, rakan sekerjanya turut mengecam kebolehan profesionalnya ketika memegang jawatan terbabit.
“Mereka mendakwa saya mensabotaj bakal pelanggan dan menyebabkan kerugian pada syarikat,” katanya.
Sejak daripada itu, dia mula menyedari bahawa tawaran pekerjaan yang diperolehinya merupakan satu perangkap.
“Syarikat itu tidak memerlukan penyambut tetamu, dan saya percaya tawaran kerja itu adalah umpan untuk menarik saya membuat pinjaman bagi pembedahan. Selepas rawatan, mereka mula mencari sebab untuk memecat saya,” katanya.
Selepas meletak jawatan pada 10 Disember, Chen mendapati gaji yang sepatutnya diterima tidak seperti termaktub di dalam kontraknya.
Syarikat itu sebaliknya hanya menawarkan gaji sebanyak 3,000 yuan (RM1,945) dan bukan 4,100 yuan (RM2,660) seperti yang dijanjikan.
Pada masa sama, dia hanya menerima bayaran sebanyak 690 yuan (RM447) selama enam hari bekerja.
“Saya mahu bekerja pada usia muda untuk meringankan beban kewangan keluarga saya, sebaliknya saya pula terpaksa menanggung hutang berpuluh ribu yuan.
“Satu-satunya jalan keluar adalah mendapatkan wang dan membayar hutang secara perlahan-lahan,” kata Chen.