HomeBeritaPadah maki polis di TikTok, 2 remaja kena cekup

Padah maki polis di TikTok, 2 remaja kena cekup

CYBERJAYA: Polis menahan dua remaja lelaki yang disyaki mengeluarkan kata-kata kesat kepada pihak polis menerusi video tular dimuat naik ke laman TikTok, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintenden Juna Yusoff memaklumkan, video berdurasi selama 39 saat itu memaparkan seorang remaja berusia 14 tahun telah mengeluarkan kata-kata kesat, berikutan tidak berpuas hati disaman dalam satu operasi dijalankan di Ban Pecah, Tanjung Piandang, Perak.

Menurut Juna, tangkapan dilakukan ke atas remaja tersebut bersama-sama seorang lagi remaja berusia 17 tahun, yang dipercayai memuatnaik rakaman ke TikTok.

Beliau berkata, hasil semakan mendapati, remaja tersebut pernah ditahan sebelum ini bagi siasatan terhadap beberapa kesalahan jenayah.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil.

“Selain itu, kes ini juga disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia serta sitaan satu buah motosikal di bawah Seksyen 64 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Juna turut menasihatkan orang ramai supaya tidak bertindak melulu serta mengikut perasaan, setelah tindakan diambil terhadap kesalahan yang dilakukan.

Beliau sebaliknya berkata, orang ramai yang tidak berpuas hati dengan tindakan tersebut boleh menggunakan saluran undang-undang yang betul.

Katanya, ia bagi memastikan tiada kesalahan lain akan dilakukan serta tidak menggugat institusi penguatkuasaan dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab.

“Ingin dimaklumkan, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Daerah Kerian sentiasa menjalankan operasi secara berkala dan berterusan bagi membendung gejala samseng jalanan yang menimbulkan keresahan dan gangguan terhadap orang ramai khususnya pengunjung di kawasan tumpuan,” katanya.

Author

Pilihan Editor