HomeBeritaPenunggang motosikal kena ugut, dilanggar di Tasek Gelugor

Penunggang motosikal kena ugut, dilanggar di Tasek Gelugor

CYBERJAYA: Seorang penunggang motosikal diugut dan dilanggar pemandu kereta di sebuah stesen minyak di kawasan Tasek Gelugor, Pulau Pinang pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd Asri Shafie berkata, pihaknya telah menerima laporan polis berhubung kejadian itu daripada mangsa.

Dalam kejadian yang turut tular dalam media sosial itu, Mohd Asri memberitahu, hasil siasatan awal mendapati, kes itu berpunca apabila pengadu menegur suspek memotong tanpa memberi isyarat lampu sisi.

Kata beliau, suspek kemudiannya tidak berpuas hati sehingga menggunakan kereta melanggar motosikal pengadu.

“Pada 8 Disember telah tular di media sosial berhubung video berdurasi selama lebih kurang 27 saat kejadian telah diugut dan dilanggar seorang lelaki tidak dikenali di sebuah stesen minyak di kawasan Tasek Gelugor.

“Kejadian yang tular ini jelas merupakan satu kejadian jenayah disiasat di bawah Seksyen 427 dan 506 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Jelasnya, Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan khianat akan membawa hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Bagi Seksyen 506 Kanun Keseksaan, kesalahan ugutan jenayah memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung insiden itu boleh menghubungi mana-mana balai polis atau pegawai penyiasat Insp Lee Howe Chong di talian 016- 598 9576.

Terdahulu tular di media sosial video berdurasi 27 saat memaparkan seorang penunggang motosikal diugut dan dilanggar oleh seorang pemandu kereta Proton Wira sehingga mengalami kecederaan kaki kanan dan motosikalnya rosak.

Pemandu itu dilihat keluar daripada kenderaannya dengan memegang sebatang besi namun sebaik mangsa memberitahu dia merakam video, suspek terus masuk semula ke dalam kereta.

Author

Pilihan Editor