HomeGlobalSebak! Kanak-kanak tak tergamak makan hidangan terakhir arwah ibu

Sebak! Kanak-kanak tak tergamak makan hidangan terakhir arwah ibu

SEORANG kanak-kanak lelaki yang enggan menjamah menu terakhir dihasilkan oleh ibunya sebelum meninggal dunia, mengundang rasa sebak ramai pihak.

Menerusi video tular, kanak-kanak dari wilayah Zhejiang, China itu dilihat merenung sepinggan dumpling sebelum berlari ke dalam biliknya.

Video itu dimuatnaik oleh bapa kanak-kanak tersebut menerusi akaun @Tiaotiaorufanchen di laman Douyin pada 10 Disember lalu, lapor South China Morning Post.

Katanya, kanak-kanak itu menuju ke biliknya sambil menangis dan menjelaskan, hidangan berkenaan dihasilkan sebelum isterinya meninggal dunia akibat kanser payudara sejak lapan bulan lalu.

Sebelum ini, mereka menyimpan makanan sejuk beku tersebut di dalam peti sejuk dan tidak bersedia untuk memakannya.

Namun, lelaki itu akhirnya memutuskan untuk memasaknya kerana bimbang ia akan reput sekiranya disimpan lebih lama.

Ketika makanan yang sudah dimasak itu dihidangkan, lelaki tersebut memberitahu anaknya bahawa ia adalah menu terakhir dihasilkan ibunya.

Katanya, ia perlu dimakan supaya kanak-kanak itu boleh mengingat dan menghargai ibunya.

Kanak-kanak tersebut sebaliknya hanya merenung makanan itu dan memutuskan untuk tidak memakannya.

Adegan itu sekali gus menyentuh hati pengguna media sosial.

“Video itu membuatkan saya menangis. Saya juga menyimpan roti yang dibuat ibu saya selama 11 tahun selepas dia meninggal dunia.

“Setiap kali saya merinduinya, saya akan menghidu roti itu sebelum memasukkannya semual ke dalam peti sejuk,” tulis seorang individu memberi komen pada video tersebut.

Nasihat seorang pengguna Douyin: “Saya sarankan dia harus duduk dan menikmati hidangan itu. Saya yakin dia pasti tidak akan melupakan rasa itu sepanjang hayatnya.”

Pada 2021, polis di wilayah Jiangsu terserempak dengan seorang kanak-kanak lelaki yang berjalan bersendirian pada lewat malam.

Pegawai polis ketika itu berasa sebak apabila kanak-kanak tersebut mendakwa bahawa dia ingin melawat kubur ibunya.

Pada tahun sama, video seorang kanak-kanak berbaring dalam atas potret ibunya yang dilukis menggunakan kapur di atas lantai membuatkan orang ramai sedih.

Author

Pilihan Editor