“JUSTICE for Kaka! Free Palestine! Shame on you Warner Music support genocide.”
Demikian komen netizen di Instagram Warner Music Malaysia apabila syarikat terbabit didakwa bertindak menamatkan kontrak penyanyi, Kaka Azraff hanya disebabkan dia lantang memperjuangkan Palestin.
Malah, kemarahan peminat turut ‘dilampiaskan’ dengan meninggalkan komen pada setiap hantaran dalam Instagram terbabit.
Rata-ratanya meminta orang ramai memboikot label antarabangsa yang disifatkan pro-Israel itu selain mendesak anak syarikat kepada Warner Music Group yang ditubuhkan itu menutup operasi mereka di negara ini.
“Warner Music Malaysia sila keluarkan pejabat anda dari Malaysia. Sila berambus,” selar netizen.
“So bila nak tutup syarikat dan berambus dari Malaysia? Malaysia just cancel you zionist product,” komen netizen.
“Close your company! We don’t need you here!” tulis pengguna Instagram.
Sebelum ini, nama Kaka atau Nor Atiqa Noor Azraff, 34, menjadi kecoh apabila pihak pro-Israel mendedahkan data peribadi milik penyanyi itu menerusi Instagram Jew Hate Database.
Difahamkan, perkara itu tercetus susulan tindakan penyanyi lagu Bawa Ku Pergi mengirim mesej langsung (DM) mengecam pempengaruh dan pelakon Australia pro-Israel, Nathaniel Buzolic.
“Kerana Israel adalah orang yang memulakan (perang). Israel mencuri tanah mereka dan kini bertindak seperti mereka mangsa?” tulisnya.
Terdahulu, pada 13 Oktober lalu, Warner Music Group memuat naik hantaran Instagram menyatakan sokongan terhadap Israel selain turut melabelkan Hamas sebagai kumpulan pengganas.
“Kami mengutuk serangan pengganas Hamas terhadap Israel dan pembunuhan beramai-ramai nyawa tidak berdosa.
“Kami menentang antisemitisme dan kami menyokong Israel serta komuniti Yahudi di seluruh dunia. Kami juga menentang sebarang bentuk diskriminasi dan perkauman,” kata kenyataan itu.
Sementara itu, sehingga kini Kaka yang didakwa bakal digugurkan daripada kontrak sehingga 31 Disember ini meminta diberikan masa sebelum dapat mengeluarkan sebarang kenyataan.