CYBERJAYA: Langkah meletakkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di bawah Yang di-Pertuan Agong dapat menangkis tohmahan menyatakan agensi itu sebagai alat politik.
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, tindakan itu juga mampu meningkatkan kebebasan dan menjadikan SPRM lebih telus, sekali gus meningkatkan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) negara pada masa hadapan.
Malah, katanya, ia juga mampu memupuk keyakinan orang ramai terhadap SPRM serta menghapuskan pandangan bahawa agensi itu akan berat sebelah kepada kerajaan semasa.
“‘The Rule Of Law’ atau Kedaulatan Undang-Undang yang sebenarnya mesti dipatuhi dan ditegakkan.
“SPRM di bawah Yang di-Pertuan Agong akan memberikan impak positif kerana banyak insiden dalam negara kelihatan seolah-olah parti pembangkang kerap kali menjadi ‘mangsa’, manakala SPRM sering dituduh terikat dengan kerajaan semasa,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Terdahulu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim mahu lebih banyak tanggungjawab diberikan kepada Yang di-Pertuan Agong termasuk pemantauan secara terus terhadap SPRM dan Petronas.
Sultan Ibrahim yang bakal ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong tidak lama lagi bertitah bahawa dua badan itu perlu melapor secara terus kepada Istana Negara berbanding Parlimen.
Menerusi wawancara bersama media antarabangsa, baginda turut menyuarakan hasrat untuk membanteras rasuah.
Titah baginda lagi, dengan SPRM diletakkan di bawah Yang di-Pertuan Agong dan bukannya Parlimen, ia akan dapat menjamin kebebasan suruhanjaya itu.