KUALA LUMPUR: “Rasa macam tak percaya. Begini rupanya perasaan sudah berkahwin, rasa seperti terawang-awangan. Sebelum majlis akad nikah tadi rasa nak gugur jantung, tapi sekarang lebih okey.”
Demikian kata pelakon Syafie Naswip mengenai majlis pernikahannya dengan pelakon, Nur Afiqah Ishak yang berlangsung di sebuah dewan di Putrajaya, pagi tadi.
Syafie berkata, dia tidak berniat untuk merahsiakan pernikahan atau perkenalan dengan isterinya yang sudah terjalin sejak dua tahun lalu.
“Semakin menginjak dewasa saya rasa lebih elok jika hanya orang terdekat saja yang tahu mengenai hubungan ini.
“Cukup sekadar ahli keluarga serta rakan-rakan terdekat yang selalu bersama saat susah dan senang tahu mengenai hubungan saya dengan Nur Afiqah.
“Kami sudah berkawan sejak dua tahun lalu ketika terbabit dalam sebuah drama. Pada awalnya, tiada bibit cinta pun, tapi selepas dua bulan tamat penggambaran kami berjumpa semula dan hubungan cinta mula berputik.
“Kami ambil masa enam bulan untuk meluahkan isi hati masing-masing dan ambil keputusan untuk bertunang secara rahsia,” katanya.
Menurut Syafie, dia memohon maaf kerana tidak berkongsi hubungannya lebih awal kepada peminat dan berharap majlis pernikahan yang diadakan secara langsung di Instagram dapat memberi kegembiraan kepada semua yang menonton.
“Terima kasih kerana sentiasa menyokong kerjaya lakonan saya selama ini. Doakan perkahwinan ini kekal bahagia sehingga ke jannah.
“Walaupun mereka (peminat) tak dapat hadir menyaksikan pernikahan saya hari ini, tapi sekurang-kurangnya dapat menonton momen indah ini secara maya,” katanya.
Ditanya mengenai perancangan menimang cahaya mata, Syafie tidak meletakkan sebarang sasaran.
“Kalau ada rezeki dalam waktu terdekat saya okey saja. Tapi kalau rezeki datang lambat kita nikmati dulu fasa kebahagiaan ini,” katanya.
Terdahulu, Syafie mengejutkan ramai pihak apabila membuat siaran langsung di Instagram mengenai pernikahannya dengan Nur Afiqah pagi tadi.
Syafie atau nama sebenarnya, Muhammad Syafie Naswip menyerahkan mas kahwin RM300 dan duit hantaran sebanyak RM15,000. – Berita Harian