HomeGlobalTak sempat sambut Krismas, 2 kanak-kanak maut kebakaran

Tak sempat sambut Krismas, 2 kanak-kanak maut kebakaran

KETERUJAAN sebuah keluarga bagi menyambut perayaan Hari Krismas bertukar tragedi apabila dua kanak-kanak maut dalam kebakaran.

Anggota bomba Barstow, California bergegas ke kediaman keluarga itu sebelum jam 7 malam pada 14 Disember lalu, selepas menerima laporan kedua-dua kanak-kanak terbabit terperangkap di dalam bangunan tersebut.

Difahamkan, kebakaran di rumah itu berpunca daripada pokok Krismas.

Pasangan Charmon dan Akeem Isom memberitahu pemberita bahawa mereka sudah sedaya upaya cuba menyelamatkan anak mereka, Aalijah Isom, 2 dan Annie Isom, 7.

“Kami berlari dan cuba melakukan apa yang boleh.

“Kami cuba memasuki tingkap dan meredah ke dalam api. Saya melecur tahap pertama pada kaki saya ketika cuba masuk ke dalam,” kata Charmon seperti dilapor New York Post.

Sementara itu, anggota bomba terpaksa melompat melalui dua tingkap bilik tidur berasingan untuk mengesan kanak-kanak tersebut.

Kedua-duanya diserahkan kepada pegawai polis dan dikejarkan ke hospital tempatan.

Keluarga itu pada mulanya kehilangan Aalijah, sebelum disusuli dengan kematian Annie yang dilapor mengalami tahap melecur teruk.

Annie meninggal dunia selepas bergelut dengan nyawanya selama seminggu, manakala organ kanak-kanak itu turut didermakan kepada pihak yang memerlukan.

Keluarga itu kini sedang mengumpul dana untuk menyempurnakan proses pengebumian kanak-kanak terbabit dan mencari tempat perlindungan baharu.

Difahamkan, pengesan asap tidak berfungsi di rumah mereka ketika kejadian tersebut.

Jabatan Bomba Los Angeles memberi amaran kepada orang ramai untuk berwaspada terhadap pokok Krismas, yang boleh menimbulkan bahaya serta mengeluarkan langkah-langkah keselamatan.

“Ia boleh mengambil masa tujuh tahun untuk menanam pokok Krismas dan tujuh saat untuk menjadi neraka,” tulis laman web bomba terbabit.

Author

Pilihan Editor