HomeBeritaTumpu penjagaan kesihatan, bukan isu kod pakaian - Dr Dzulkefly

Tumpu penjagaan kesihatan, bukan isu kod pakaian – Dr Dzulkefly

CYBERJAYA: Menteri Kesihatan baharu, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menegaskan bahawa isu membabitkan kod pakaian di hospital tidak perlu diberi tumpuan utama ketika ini.

Sebaliknya, Dr Dzulkefly berkata, usaha memastikan perkhidmatan rawatan dan penjagaan kesihatan terbaik diberikan kepada rakyat harus dititikberatkan.

Justeru, katanya, proses saringan kesihatan di jabatan kecemasan di semua kemudahan penjagaan kesihatan kerajaan perlu dipertingkatkan.

“Kita mahu peningkatan perkhidmatan kesihatan di jabatan kecemasan (ED) berhubung proses saringan kepada pesakit, triage (saringan) berdasarkan tahap keseriusan penyakit (severity illnesses) dan bukan terkait hal pakaian seseorang pesakit,” katanya dalam hantaran di laman X.

Dr Dzulkefly menjawab pertanyaan pengguna media sosial itu, yang meminta pandangannya mengenai kod pakaian di hospital kerajaan, susulan seorang lelaki berusia 51 tahun meninggal dunia selepas didakwa tidak mendapat rawatan sewajarnya di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di Sungai Petani, Kedah, pada 3 Disember lalu.

Berikutan kejadian itu, Kementerian Kesihatan (KKM) menubuhkan sebuah jawatankuasa bebas bagi melakukan siasatan lanjut mengenainya.

Dr Dzulkefly berkata, kematian di Hospital Sungai Petani selepas menunggu selama lima jam untuk melakukan saringan kesihatan tidak wajar berulang pada masa depan.

Isu etika berpakaian di hospital kembali menjadi tumpuan selepas seorang lelaki berusia 72 tahun mendakwa, dirinya tidak dibenarkan melawat ahli keluarganya yang menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya (HSJ), di Permatang Pauh, Pulau Pinang kerana berseluar pendek.

Insiden pada Isnin itu membawa kepada bantahan di media sosial, dan Kerajaan Pulau Pinang sejak itu memberi jaminan orang ramai tidak dihalang memasuki kemudahan penjagaan kesihatan kerana pakaian mereka.

Selain itu, pada Mac lalu, seorang pengunjung Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di Kuantan, Pahang bertelagah dengan seorang pengawal keselamatan berhubung etika berpakaian.

Wanita itu juga tidak dibenarkan masuk ke hospital kerana memakai seluar pendek.

Author

Pilihan Editor