HomeBeritaUjian air kencing pegawai polis negatif dadah

Ujian air kencing pegawai polis negatif dadah

IPOH: Hasil ujian air kencing dijalankan ke atas pegawai polis yang ditahan berhubung kematian pelajar berusia 17 tahun, akibat dilanggar dan diseret kereta di Jalan Taman Jati dekat Meru, di sini disahkan negatif daripada dadah.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, keputusan itu diperoleh selepas saringan ujian air kencing dijalankan ke atas lelaki berusia 44 tahun itu selepas dia ditahan pada Jumaat.

“Saringan ujian air kencing dibuat dan disahkan negatif. Polis juga mengambil sampel darah dan sedang menunggu keputusan pakar patologi,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Mohd Yusri dalam pada itu menggesa orang ramai agar membuat sebarang andaian negatif berhubung siasatan kes berkenaan terutama di media sosial.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari Jumaat, Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie dalam perjalanan pulang ke rumah di Chemor dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati di Meru.

Difahamkan, sebelum kejadian, berlaku pertengkaran membabitkan anggota polis yang memandu Perodua Ativa dan remaja terbabit yang dikatakan membuat bising menggunakan motosikalnya.

Susulan itu, pegawai polis berpangkat Deputi Superintendan mengejar mangsa hampir satu kilometer sebelum merempuh remaja terbabit dari arah belakang.

Akibat rempuhan itu, mangsa terjatuh sebelum diseret hampir lima meter dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Pada hari sama, polis menahan pegawai kanan polis terbabit dengan hasil bedah siasat terhadap mangsa di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini mendapati, punca kematiannya adalah kecederaan pada bahagian dada dan perut akibat kemalangan jalan raya.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Yahaya Hassan berkata, anggota polis itu direman tiga hari sehingga Isnin bagi membantu siasatan.

Author

Pilihan Editor