HomeBeritaWahab saman Chegu Bard, Hakim Ramlee isu video tular

Wahab saman Chegu Bard, Hakim Ramlee isu video tular

KUALA LUMPUR: Kakitangan di Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani mengambil tindakan undang-undang terhadap beberapa pihak termasuk Pengarah Bahagian Latihan dan Pendidikan J-KOM.

Peguam mewakili Wahab, Faizal Rahman memaklumkan, surat tuntutan saman sudah dihantar kepada dua pihak iaitu ahli jawatankuasa penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegu Bard; dan pengarah bahagian di J-KOM, Hakim Ramlee.

“Tuntutan itu berhubung penularan video perbualan lucah individu mirip bekas Ketua Pengarah J-KOM, Datuk Mohammad Agus Yusoff dan Wahab.

“Setakat ini, arahan diberikan (Wahab) adalah keluarkan surat tuntutan saman kepada dua individu ini berhubung penularan video lucah,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Ketika ditanya mengenai individu didakwa sebagai dalang konspirasi itu yang dikenali Mr H, Faizal memaklumkan, pendedahan identiti individu itu diserahkan sepenuhnya kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

No (tiada) komen, cuma pada saya, pihak polis sewajarnya dedahkan (identiti Mr H) bagi menunjukkan pentadbiran yang tidak memihak,” katanya.

Sebelum ini, rakaman video berdurasi tiga minit yang tular sejak 17 November lalu menjadi topik hangat di media sosial, berikutan terdapat individu mirip Mohammad Agus bersama seorang lelaki.

Susulan itu, Mohammad Agus meletak jawatan sebagai Ketua Pengarah J-KOM mendakwa video perbualan yang mengaitkan dirinya adalah palsu dan disunting pihak tidak bertanggungjawab.

Pada sidang media khas berhubung isu itu, pegawai J-KOM yang dikaitkan dengan video tular itu iaitu Wahab mendakwa dirinya dijadikan kambing hitam, untuk menjatuhkan Mohammad Agus oleh individu bernama Mr H.

Author

Pilihan Editor