CYBERJAYA: Tular di media sosial hantaran tentang seorang wanita meninggal dunia dipercayai akibat keracunan makanan yang dibeli di sebuah Hentian Rehat dan Rawat (R&R) di Terengganu, baru-baru ini.
Hantaran yang dimuat naik dalam grup Facebook Pengguna LPT (Lebuhraya Pantai Timur) itu dikongsi oleh saudara terdekat mangsa.
Difahamkan, mangsa yang juga ibu saudaranya itu datang dari Johor ke Terengganu untuk proses pendaftaran anak saudaranya ke sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) di Kuala Nerus.
“Datang dari Johor ke Terengganu untuk pendaftaran anak buah ke UniSZA (Universiti Sultan Zainal Abidin). Singgah makan di R&R, makan sandwich dibeli di R&R tersebut. Basi rupanya.
“Kena keracunan makanan, dua mangsa. Mak cik (ibu saudara) dan anak buah. Tapi mak cik yang teruk. Kritikal muntah dan berak nonstop. Masuk air, ‘collaps’.
“Masuk ICU Sultanah Zahirah (HSNZ) dan meninggal malam tadi. Alhamdulillah dipermudahkan urusan bawa balik jenazah ke JB (Johor Bahru) dan selamat dikebumikan,” tulisnya.
Hantaran itu nyata mendapat perhatian orang ramai yang rata-ratanya bimbang dengan keselamatan makanan yang dijual memandangkan, jumlah pengguna LPT meningkat ketika ini susulan musim cuti perayaan Hari Krismas.
Bagaimanapun, wanita yang berkongsi kejadian terbabit menjelaskan bahawa tujuannya berkongsi perkara itu di media sosial adalah sebagai langkah berwaspada kepada pengguna yang lain.
“Amat berdukacita. Berhati-hatilah makan. Kepada para peniaga tolonglah bertanggungjawab sediakan makanan bersih dan jangan jual makanan berulang yang tak habis,” ungkapnya.
Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Datuk Dr. Kasemani Embong menyatakan pihaknya ada menerima laporan mengenai kes berkenaan, lapor Utusan.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut dan menegaskan satu kenyataan media rasmi akan dikeluarkan tidak lama lagi.