HomeBeritaTiada tindakan terhadap pemandu tak tahu status warga asing

Tiada tindakan terhadap pemandu tak tahu status warga asing

CYBERJAYA: Tiada sebarang tindakan ke atas pemandu kenderaan awam, apabila tidak mengetahui status warga asing yang menggunakan perkhidmatan mereka.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Ruslin Jusoh berkata, pihaknya merujuk kepada hantaran notis tular di media sosial mendakwa, tindakan akan diambil terhadap pemandu pengangkutan awam yang membawa warga asing tanpa mempunyai dokumen yang sah.

Beliau berkata, notis tersebut adalah palsu yang dikeluarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Tiada sebarang tindakan akan dikenakan terhadap pemandu pengangkutan awam yang tidak mengetahui status warga asing yang menggunakan perkhidmatan mereka.

“Imigresen Malaysia sedia maklum bahawa pemandu tidak mempunyai kuasa dan tidak perlu dibebankan dengan pembuktian status penumpang yang mereka bawa,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Namun, katanya, tindakan tegas akan diambil sekiranya didapati mereka sengaja memberikan perlindungan terhadap mana-mana individu yang diketahuinya telah melanggar peruntukan akta ditetapkan.

“Sekiranya berlaku keadaan demikian, mereka boleh disabit dengan hukuman di bawah Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63.

“Imigresen Malaysia sama sekali tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang melakukan kesalahan berkaitan,” katanya.

Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak menyebarkan sebarang maklumat palsu yang boleh menimbulkan kekeliruan dan keresahan dalam kalangan masyarakat.

Author

Pilihan Editor