SEORANG wanita dari Uttar Pradesh, India mencatat rekod Guinness World Record (GWR) kerana memiliki rambut terpanjang di dunia dan masih hidup.
Lapor Indianexpress, Smita Srivasta, 46, dikatakan tidak pernah memotong rambut sejak berusia 14 tahun dan kini panjang rambutnya adalah 2.3 meter.
Menurut Smita, idea penyimpanan rambut itu adalah inspirasi dari ibunya sendiri.
Malah, dia turut kagum selepas melihat rambut seorang pelakon wanita terkenal pada tahun 1980-an.
“Dalam budaya India, dewi menyimpan rambut panjang manakala tradisi kami memotong rambut dianggap tidak ‘menguntungkan’.
“Sebenarnya rambut panjang meningkatkan kecantikan setiap wanita,” katanya.
Laporan sama turut menyatakan, Smita mencuci rambutnya dua kali seminggu dengan merangkumi keseluruhan proses iaitu mencuci, mengeringkan, menyahjeratkan dan menggayakan, mengambil masa sehingga tiga jam setiap kali.
Semasa mencucinya, dia mengambil masa 30 hingga 45 minit dan selebihnya mengambil masa dua jam.
“Saya meletakkan rambut atas cadar katil untuk meleraikan rambut sambil berdiri atas katil,” ujarnya.
Malah, Smita turut menyatakan rambutnya sering disentuh orang ramai ketika dia keluar kerana rata-rata daripada mereka kagum melihat panjang rambut itu yang dijaga dengan rapi.
“Orang ramai datang kepada saya, mereka menyentuh rambut, mengambil gambar dan berswafoto dengan saya selain bertanyakan produk untuk merapikan rambut supaya nampak cantik dan berkilat.
“Saya memberitahu rahsia mengenai penjagaan rambut dan ada segelintir daripada mereka menyatakan niat untuk melakukan perkara sama,” ujarnya.