GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendedahkan beberapa jenis ubat sirap atau cecair tercemar dikenal pasti di rantau Amerika, Mediterranean Timur, Asia Tenggara dan Pasifik Barat.
Menurut WHO, produk yang terjejas itu dikeluarkan oleh Pharmix Laboratories di Pakistan dan pertama kali dikenal pasti di negara berkenaan serta Maldives.
Ia turut ditemui di Belize, Fiji dan Laos namun setakat ini, Pharmix masih belum mengeluarkan kenyataan mengenai perkara itu.
WHO berkata, cecair yang mengandungi bahan aktif untuk merawat alahan, batuk dan masalah kesihatan lain itu mengandungi paras pencemar etilena glikol yang tidak boleh diterima.
Amaran terbaharu itu menambah senarai dikeluarkan WHO mengenai ubat tercemar serupa buatan India dan Indonesia sebelum ini yang dikaitkan dengan kematian kira-kira 300 kanak-kanak di seluruh dunia tahun lalu.
“Produk substandard yang dirujuk dalam amaran ini adalah tidak selamat dan penggunaannya, terutamanya kepada kanak-kanak boleh mengakibatkan kecederaan serius atau kematian,” jelas WHO.
Tiada kejadian buruk dilaporkan kepada WHO mengenai sirap ubat buatan Pakistan, namun badan itu menggesa negara meningkatkan kewaspadaan dan menguji produk yang dikeluarkan syarikat tersebut sepanjang Disember 2021 dan Disember 2022.
Pencemaran itu dilaporkan ditemui dalam sirap Alergo ketika pemeriksaan rutin oleh Pihak Berkuasa Makanan dan Ubat-Ubatan Maldives pada November dan disahkan oleh pengawal selia Australia.
Pemeriksaan susulan di kemudahan pembuatan Pharmix, yang dijalankan oleh Pihak Berkuasa Kawal Selia Dadah Pakistan mendapati beberapa produk lain juga turut tercemar.
Badan itu kemudiannya mengarahkan syarikat berkenaan menghentikan pengeluaran semua ubat cecair oral dan mengeluarkan amaran memanggil balik produknya bulan lalu.
Menurut WHO, sebanyak 23 kumpulan ubat sirap Alergo, Mucorid dan Zincell bersama ubat cecair Emidone serta Ulcofin didapati terjejas namun hanya Alergo ditemui di luar Pakistan setakat ini.
Jelas amaran yang dikeluarkan, tahap pencemarannya mencecah antara 0.62 hingga 0.82 peratus, berbanding tahap yang boleh diterima iaitu tidak melebihi 0.10 peratus. – Utusan memetik AGENSI