MAYAT seorang veteran tentera yang hilang selama sedekad ditemui pada Ahad hasil bantuan pempengaruh terkenal.
Penyiasat yakin bahawa mayat yang ditemui itu milik Donnie Erwin yang hilang pada 29 Disember 2013 di Camdenton, sebuah bandar yang terletak di Ozarks, Amerika Syarikat (AS).
Bekas anggota tentera darat itu kali terakhir dilihat memandu kereta jenis Hyundai Elantra pada 10 tahun lalu.
Kereta yang sama ditarik keluar dari sebuah tasik awal bulan ini, selepas YouTuber yang juga juruterbang dron, James Hinkle memburu lelaki yang hilang itu dalam tempoh hampir setahun.
Hinkle, yang memiliki lebih sejuta pengikut di laman YouTube menemui kenderaan itu pada 14 Disember lalu menggunakan teknologi pemetaan air tawar.
Sebelum itu, para penyelam daripada pasukan Hinkle memutuskan untuk menyelam ke dalam tasik berkenaan bagi melihat lebih dekat kereta yang dilitupi alga itu.
Mereka mengesahkan bahawa kereta itu merupakan kenderaan terakhir digunakan Erwin sebelum kehilangannya.
Sementara itu, detektif dari Pejabat Syerif Daerah Camden mengesahkan bahawa nombor plat lesen sepadan dengan nombor plat kenderaan Erwin.
Namun, pihaknya memerlukan tempoh seminggu untuk anjing yang ditugaskan mengesan mayat lelaki tersebut.
Pada masa sama, penyiasat turut menemui pinggul tiruan yang sama seperti dimiliki Erwin.
“Meskipun ahli patologi forensik masih belum menentukan sama ada mayat yang ditemui itu milik Erwin, namun penyiasat yakin bahawa pinggul dan mayat itu adalah miliknya,” kata pejabat syerif seperti dilapor New York Post.
Detektif masih berusaha untuk mencari punca Erwin boleh berada di dalam air ketika dia melakukan larian sambil merokok pada awal pagi 10 tahun lalu.
Ada teori mengatakan bahawa Erwin membunuh diri, manakala Hinkle turut berpendapat bahawa kematian bekas anggota tentera itu berkemungkinan satu kemalangan.