CYBERJAYA: Empat wanita pendatang tanpa izin (PATI) antara 108 individu yang ditahan ketika serbuan pihak berkuasa di Pasar Harian Selayang, Kuala Lumpur pada awal pagi Sabtu.
Operasi Khas Op Taring 2 itu dilancarkan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kekuatan 465 pegawai dan anggota.
Gerakan bermula jam 3 pagi itu turut dibantu Jabatan Imigresen dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, seramai 213 warga asing yang berada di sekitar kawasan pasar harian itu diperiksa.
“Hasil saringan yang dibuat, polis menahan 104 lelaki dan empat wanita PATI terdiri 52 warga Indonesia, 35 warga Myanmar, 12 warga India, tujuh warga Bangladesh dan masing-masing satu warga Pakistan dan Nepal.
“Kesalahan adalah tidak memiliki dokumen perjalanan sah serta tinggal melebihi masa dibenarkan,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Allaudeen berkata, operasi bertujuan membanteras pelbagai jenayah di kawasan sekitar Pasar Harian Selayang, terutama membabitkan PATI.
“Selain itu, operasi turut memfokuskan kepada membanteras sebarang aktiviti tidak sihat di kawasan ini,” katanya.
Orang ramai dialu-alukan untuk menyalurkan maklumat berhubung kegiatan mencurigakan atau kehadiran PATI di kawasan masing-masing kepada polis.
Semua tangkapan diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk siasatan mengikut Seksyen 6 (1)(c) dan Seksyen 15 (1)(c) Akta Imigresen 1959 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah dan tinggal melebihi masa dibenarkan.
Allaudeen memberi jaminan, pihaknya akan meneruskan operasi sedemikian dari semasa ke semasa.