HomeBeritaAgong titah Anwar teruskan tugas Perdana Menteri

Agong titah Anwar teruskan tugas Perdana Menteri

PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan Datuk Seri Anwar Ibrahim agar meneruskan tugas sebagai Perdana Menteri tanpa menghiraukan sebarang percaturan politik.

Perdana Menteri berkata, Al-Sultan Abdullah bertitah demikian ketika menghadap Seri Paduka bagi menyembah maklum urusan kertas-kertas Kabinet esok di samping mengulas beberapa perkembangan semasa.

Kata Anwar, Seri Paduka juga bertitah bahawa pihak Istana tidak akan terlibat dalam sebarang percaturan politik.

“Baginda juga bertitah supaya saya selaku Perdana Menteri dan Kerajaan Madani untuk meneruskan kerja mengurus negara. Baginda juga bertitah bahawa pihak istana tidak akan terlibat dalam sebarang percaturan politik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Anwar memaklumkan menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi menyembah maklum urusan kertas-kertas kabinet di Istana Negara.

Sebelum ini, wujud percaturan politik yang juga dinamakan sebagai Langkah Dubai iaitu satu cubaan menjatuhkan Kerajaan Perpaduan yang dipercayai mahu dilaksanakan pada akhir bulan lalu.

Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan kewujudan Langkah Dubai itu, malah beliau mengakui maklumat berhubung rancangan ‘tebuk atap’ tersebut diperolehnya menerusi sumber perisikan.

Namun komplot diusahakan di bandar terbesar Emiriah Arab Bersatu itu yang sepatutnya dicapai pada 1 Januari lalu dikatakan gagal apabila ditolak oleh tokoh tertentu.

Dalam pada itu, Anwar menegaskan seandainya ada cadangan mana-mana pihak untuk menyampaikan derma sebanyak RM500 juta atau RM750 juta, ia hendaklah disalurkan terus kepada asnaf dan golongan miskin dalam negara.

Perkara itu dipercayai merujuk dakwaan pihak tertentu yang mengatakan ada pihak cuba menggunakan politik wang untuk menjatuhkan kedudukan Anwar selaku peneraju Kerajaan Perpaduan hari ini. – Utusan

Authors

Pilihan Editor