HomeGlobal'Anjing yang kencing atas makanan, tapi abang 'rider' pula disalahkan'

‘Anjing yang kencing atas makanan, tapi abang ‘rider’ pula disalahkan’

SEORANG wanita terkejut apabila mendapati makanan yang dipesan dalam talian dicemari dengan air kencing haiwan baru-baru ini.

Kejadian tersebut berlaku ketika dia tinggal di sebuah inap desa (homestay) dekat wilayah utara Hubei, China.

Menerusi rakaman televisyen litar tertutup (CCTV), seorang penghantar makanan pada mulanya meletakkan hidangan yang dipesan di luar rumah inap desa tersebut.

Tidak beberapa lama kemudian, seekor anjing dilihat menuju ke arah makanan tersebut.

Sebaik sahaja wanita itu menerima makluman penghantaran menerusi telefon bimbitnya, dia segera membuka pintu untuk mengambil makanan tersebut dan menyedari ia dipenuhi air kencing.

Berang dengan perkara itu, wanita tersebut kemudian bertindak menuding jari terhadap penghantar makanan berkenaan sebelum menghantar teks mesej dengan nada marah.

“Makanan saya dipenuhi dengan air kencing. Ini sangat biadab,” tulis wanita itu seperti dilapor South China Morning Post.

“Kenapa saya pula yang kurang ajar?” jawab penghantar makanan tersebut yang masih keliru.

“Mengapa anda tidak mengaku sahaja? Hanya kita berdua yang menyentuh bungkusan makanan dan tidak mungkin saya akan kencing dekat makanan saya sendiri bukan?” soal wanita tersebut.

Tidak kira berapa kali penghantar makanan tersebut menafikan dirinya bertanggungjawab dengan perkara itu, wanita berkenaan masih tidak mempercayainya dan mencadangkan mahu menyemak rakaman CCTV.

Dia kemudian menghubungi pemilik inap desa itu bagi menyaksikan rakaman kejadian bersama-sama, dan ketika itulah baru mereka ternampak bahawa anjing jiran sebelah yang melakukan perkara terbabit.

Wanita itu yang berasa sangat bersalah segera menghubungi penghantar makanan tersebut untuk membuat permohonan maaf.

Pada Disember lalu, seorang wanita di barat daya China dikecam apabila cuba untuk membuat seorang penghantar yang bekerja di kedai kopi Starbucks dibuang kerja, berikutan menganggap statusnya lebih tinggi berbanding pekerja tersebut.

 

Author

Pilihan Editor