UPACARA akad nikah kini boleh dilaksanakan di dua tapak suci Islam iaitu Masjidil Haram di Mekah dan Masjid Nabawi di Madinah.
Perkara itu dimaklumkan oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi, lapor portal The Business Standard memetik Gulf News.
Difahamkan, langkah itu adalah sebahagian daripada inisiatif kerajaan Arab Saudi untuk memperkaya pengalaman jemaah haji dan pengunjung ke dua buah masjid suci tersebut.
Menurut pemerhati, usaha itu adalah peluang menarik buat syarikat menghasilkan idea inovatif untuk menganjurkan acara seumpama itu di tapak suci.
Seorang pegawai perkahwinan di Arab Saudi, Musaed Al-Jabri menjelaskan, pelaksanaan akad nikah di Masjid Nabawi adalah dibenarkan dalam Islam.
Menurutnya, Nabi Muhammad SAW diketahui telah mengadakan upacara perkahwinan seorang sahabat di masjid itu, lapor Middle East Monitor.
“Ada di antara mereka mempunyai tradisi mengundang saudara-mara pasangan yang bakal menikah.
“Selalunya, rumah keluarga bakal isteri tidak dapat menampung semua undangan. Jadi, akad nikah dijalankan di Masjid Nabawi atau Masjid Quba (masjid pertama dibina dalam Islam),” ujarnya.