HomeMV+PendapatBencana alam ujian atau bala?

Bencana alam ujian atau bala?

BENCANA alam merupakan suatu kejadian yang berlaku secara mengejut, bersifat kompleks hingga mengakibatkan kehilangan nyawa, kemusnahan dan kerosakan harta benda atau alam sekitar serta menjejaskan aktiviti kehidupan individu atau masyarakat setempat.

Di tengah-tengah kemusnahan dan kehilangan, manusia sering mencari makna di sebalik kejadian ini.

Adakah bencana alam dianggap sebagai ujian yang menguji kekuatan
atau
bala yang perlu diatasi?


DEFINISI BENCANA ALAM

Sebelum dikupaskan isu ini lebih lanjut, bencana alam adalah kesan buruk daripada kejadian atau gabungan semula jadi yang membentuk letusan gunung berapi, gempa bumi, tanah runtuh dan taufan yang memiliki kekuatan dan akibat yang berbeza-beza mengikut jenis bencana alam yang berlaku.

Bencana alam dalam sekelip mata mampu membuat sesebuah tempat dan penduduknya tinggal dalam kesusahan. Terdapat beberapa jenis bencana alam, antaranya adalah taufan, tsunami, gempa bumi, banjir, letusan gunung berapi, dan tanah runtuh.

PUNCA BERLAKU BENCANA ALAM
Punca bencana alam berlaku daripada aktiviti manusia atau secara semula jadi. Perkara ini boleh memberi kesan kepada alam dan seterusnya mendorong berlakunya malapetaka alam.

Salah satu faktor ialah pembangunan yang pesat terutama di kawasan yang berisiko seperti di lereng bukit dan tanah lembut. Pembangunan fizikal bagi tujuan pembinaan tapak industri, bangunan pencakar langit, kawasan petempatan dan sebagainya tidak dirancang dengan sebaiknya malah pemaju tidak memikirkan kesannya terhadap persekitaran dalam jangka masa panjang.

Maka, ketidakprihatinan ini akan menyebabkan sistem ekologi yang asal tidak mampu untak menghalang sebarang kejadian bencana berlaku kerana pembangunan tersebut telah memusnahkan kawasan hijau yang menjadi pelindung kepada permukaan bumi terhadap sebarang proses lulu hawa.

Proses ini sebenarnya berupaya melemahkan struktur dalaman tanah. Apabila ini berlaku, maka sebarang perubahan drastik terhadap permukaan bumi akan menyebabkan berlakunya bencana alam seperti tanah runtuh, banjir kilat, runtuhun bangunan secara tiba-tiba dan sebagainya.

Memetik laporan Kosmo, pembukaan tanah untuk pembangunan dan penerokaan tanah secara berleluasa menjadi antara penyumbang bencana alam.

Selain itu, kejadian bencana alam turut dikaitkan dengan pemanasan global yang dikatakan menjadi perkara lazim dalam peredaran usia bumi ini. Kajian saintis membuktikan bahawa bumi pasti akan mengalami satu perubahan yang drastik dalam iklim global dunia dalam tempoh masa tertentu.

Semua bukti kajian lalu mengesahkan bahawa bencana alam merupakan sesuatu perkara yang akan, sedang dan terus berlaku di dunia ini.

Perkara ini disokong oleh Prof Madya Dr Haliza Abdul Rahman dalam artikelnya bahawa, fenomena pemanasan global membuatkan iklim jadi tidak menentu dengan musim hujan dan kemarau menjadi semakin ekstrem menyebabkan bencana alam iaitu proses banjir menjadi lebih serius serta luar jangkaan.

IMPAK BENCANA ALAM
Bencana alam seperti banjir besar, gempa bumi, tanah runtuh dan sebagainya akan membawa kerugian besar kepada semua penduduk. Malah, pihak kerajaan terpaksa bersiap siaga memberi bantuan kepada rakyat dari segi kewangan mahupun dalam bentuk makanan, perumahan dan sebagainya.

Seterusnya, mangsa yang terselamat daripada bencana alam sudah pasti akan mengalami gangguan emosi dan masalah fizikal dalam jangka pendek atau jangka panjang. Hal ini demikian kerana kejadian yang pertama kali berlaku dalam hidup mereka memberikan kesan yang mendalam dalam jiwa.

Kekecewaan dan ketakutan yang mencengkam akan menyebabkan mereka hilang pertimbangan dan kemungkinan tidak mahu lagi meneruskan kehidupan. Apatah lagi jika terbayang orang-orang tersayang hanyut ditelan ombak dan tidak dapat dikesan hingga ke saat ini.

Keadaan lebih mengharukan, jika mereka yang hidup mengalami kecacatan kekal dan tidak ada keluarga tempat berlindung. Perkara ini disokong oleh, Nurul Husna Mahmud dalam artikelnya yang dipetik daripada Harian Metro. Katanya, bencana alam memberi impak ketara pada pandangan fizikal termasuk kehilangan tempat tinggal, harta dan aset.

Setelah melihat punca dan kesan bencana alam, terdapat beberapa pandangan melihat bencana alam sebagai ujian kekuatan yang menguji daya ketahanan dan keberanian manusia. Dalam situasi penuh cabaran, kegigihan dan kecekalan manusia diuji seiring dengan usaha untuk bangkit. Individu dan masyarakat yang mampu menghadapi dan mengatasi bencana ini dapat membuktikan kekuatan jiwa dan semangat kemanusiaan yang tinggi.

Bagaimanapun, terdapat juga pandangan yang melihat bencana alam sebagai bala atau ujian yang perlu diatasi. Keadaan sukar dan kehilangan yang besar boleh dianggap sebagai bentuk ujian ilahi atau ujian bagi kelemahan manusia. Pandangan ini mungkin mengandungi elemen keagamaan atau kepercayaan kepada takdir.

Manusia dihadapkan dengan cabaran untuk mencari jalan keluar dan mengatasi ujian tersebut dengan menguatkan hubungan dengan Tuhan atau kekuatan rohaniah.

 

Menurut Dr. Kamilin Jamilin dalam perÄ·ongsiannya di Facebook, beliau berpendapat bencana alam barangkali adalah ujian dari Allah untuk mengangkat darjat hamba-Nya yang bersabar di akhirat, atau sebagai petunjuk kepada jalan kebaikan.

Tambahnya, bencana itu juga boleh jadi balasan Allah terhadap mereka yang ingkar dan kufur terhadapnya, jika empunya diri tegar dalam maksiat, atau kerap mencabar syariat Allah.

Kesannya, masyarakat sering menghadapi dilema moral dalam menangani bencana alam. Adakah kekuatan manusia yang diuji ataukah bala yang perlu diatasi?

Gambar hiasan

Jawapan kepada soalan ini mungkin bergantung kepada pandangan peribadi, kepercayaan agama, dan nilai-nilai masyarakat tertentu.

Dalam menghadapi bencana alam, kerjasama antara kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan, dan masyarakat awam menjadi faktor penting. Usaha bersama dalam menyediakan bantuan, menyelamat, dan memulihkan masyarakat yang terjejas memainkan peranan kunci dalam memastikan pemulihan yang berkesan. Ini melibatkan penyediaan sumber daya yang mencukupi, pelaksanaan perancangan bencana yang berkesan, dan pemupukan semangat gotong-royong dalam masyarakat.

Konklusinya, bencana alam membawa impak besar kepada kehidupan manusia dan masyarakat.

Perspektif mengenai bencana sebagai ujian kekuatan atau bala yang perlu diatasi adalah perbincangan yang kompleks dan bergantung kepada pelbagai faktor.

Justeru, penting untuk setiap individu mengambil pembelajaran dari setiap kejadian bencana dan terus memperbaiki pendekatan dalam mengurangkan risiko serta meningkatkan keupayaan menghadapi cabaran alam yang tidak terduga.

Oleh: SITI A’ISYAH BINTI MOHD SAFI’FINE
Pelajar Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Author

Pilihan Editor