HomeHiburanBerbaloi ke tonton Pendekar Awang Darah Indera Gajah? - Ulasan

Berbaloi ke tonton Pendekar Awang Darah Indera Gajah? – Ulasan

‘BEST’ ke tonton filem Pendekar Awang Darah Indera Gajah?

Lain orang, lain pendapatnya. Begitu juga dengan penulis yang tidak meletakkan sebarang ekspetasi ketika menonton filem tersebut tempoh hari.

Justeru, ini ulasan penulis buat anda sendiri fikir-fikirkan sama ada berbaloi atau tidak untuk pergi menonton di pawagam.

Fattah Amin memegang watak Awang

Storyline
Kisah yang diketengahkan dalam filem Pendekar Awang Darah Indera Gajah adalah tentang perjalanan Tok Gajah menuju ke Terengganu bagi mendapatkan bantuan.

Jika didengar, bunyinya amat ringkas. Namun, pelbagai halangan dan rintangan dilalui Awang dan seluruh orang kampung untuk melindungi perjalanan Tok Gajah.

Jadinya, filem ini tampak jelas menceritakan pengorbanan orang Melayu yang sanggup bergadai nyawa demi membebaskan tanah air daripada genggaman penjajah.

Sinematografi
Tiada apa yang mahu dikritik kerana bagi penulis, segala susun atur pada bahagian sinematografi filem Pendekar Awang ini menarik. Kredit wajar diberikan kepada para kru produksi yang bertungkus lumus menjayakan filem ini.

Nadhir Nasar memegang watak Tahir.

Lakonan
Umum mengetahui watak utama dalam filem Pendekar Awang ialah Fattah Amin. Namun, suka untuk penulis katakan watak Tahir lakonan Nadhir Nasar lebih menarik perhatian.

Bukan kerana rupanya apetah lagi gaya berlawannya dalam filem itu sebaliknya, penjiwaan watak selaku adik Awang dan Sayang (lakonan Fazura) jelas kelihatan ‘hidup’. Pujian wajar diberikan kepada Nadhir yang kini semakin bersinar dalam bidang lakonan.

Selain Nadhir, mungkin ramai yang akan terhibur dengan penampilan pelakon meningkat naik, Amir Ahnaf kerana gaya bicaranya dalam filem ini berbeza dengan watak-watak yang dibawanya sebelum ini. Cakap lebih-lebih nanti spoiler pula.

Jangan terkejut melihat cameo yang muncul pada awal cerita. Meskipun hanya mengungkap satu perkataan, sudah cukup buatkan penonton teruja melihat kemunculan ‘si dia’ dalam filem pahlawan ini.

Fazura memegang watak Sayang – isteri Awang.

Banyak beza ke dengan filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan?

Jika nak dibandingkan dengan filem Mat Kilau, terus-terang penulis katakan naratif filem Pendekar Awang ini seakan sama seperti filem Mat Kilau.

Namun, setiap filem pasti mempunyai elemen tersendiri yang mahu diketengahkan. Jika filem Mat Kilau lebih fokus pada aksi sekumpulan pahlawan Melayu, kali ini Saiful Reza Shukor dan Shaharudin Mat Dali yang merupakan sutradara Pendekar Awang mempamerkan sisi wanita selaku srikandi di tanah Melayu.

Malah, penggunaan alatan memanah dan aksi menunggang kuda dalam filem ini juga secara tidak langsung menghidupkan sunnah Rasulullah SAW sekali gus, membuatkan sukan memanah berkuda itu mendapat tempat dalam khalayak ramai.

Dalam filem ini, watak Tahir kelihatan lemah ketika bertempur secara fizikal namun, strategi menjatuhkan musuh yang disusun atur olehnya serta pengetahuan tentang perubatan jelas menunjukkan bahawa pendekar Melayu bukan sekadar hebat dalam pertempuran semata. Bahkan, ilmu alam turut dikuasai orang Melayu.

Dari aspek dialog tutur kata pula, sebilangan watak masih kekalkan gaya bicara yang sopan dan klasik. Pengisian nasihat serta kata-kata motivasi juga sarat dalam filem Pendekar Awang berbanding Mat Kilau yang penuh kritikan berbisa buat bangsa Melayu.

Amir Ahnaf memegang watak Andak.

Konklusi

Jika ditanya antara Mat Kilau dan Pendekar Awang yang mana satu lebih menarik, penulis masih gemar menonton filem Mat Kilau.

Hal ini kerana sehingga saat ini, intro filem Mat Kilau masih berlegar-legar di minda penulis khususnya babak seorang lelaki tua ditikam oleh Toga (Yayan Ruhian) hanya kerana bercakap benar.

Malah, penulis lebih gemar akan dialog-dialog dalam filem Mat Kilau yang adakalanya membuatkan orang Melayu berfikir sejenak dan seakan ‘pedas’ untuk diterima. Dan mungkin, barisan pelakon dalam filem Mat Kilau juga sudah cukup buatkan rata-rata rakyat Malaysia tertarik untuk pergi menonton filem berkenaan. Siapa sahaja tak suka lakonan Beto Khusyairi? Ditambah pula kemunculan si Toga lakonan Yayan Ruhian, terasa kekejamannya itu.

Namun, filem Pendekar Awang masih berbaloi untuk ditonton orang awam bagi mengetahui kisah ‘unsung hero’ yang sewajarnya diingati lapisan masyarakat terutama sekali orang Melayu.

Filem Pendekar Awang Darah Indera Gajah akan memasuki pawagam di seluruh Malaysia mulai 11 Januari 2024.

Author

Pilihan Editor