HomeGlobalBersalin di ruang solat sebelum tinggalkan bayi di tangga surau

Bersalin di ruang solat sebelum tinggalkan bayi di tangga surau

FUNGSI surau yang sepatutnya dijadikan lokasi orang ramai untuk mendirikan solat kini bertukar sebagai tempat melahirkan anak.

Ini selepas media sosial dikejutkan dengan tindakan seorang wanita yang berbuat demikian pada awal pagi Khamis.

Menerusi video dimuat naik di laman Instagram @depokhari, kejadian tersebut berlaku di ruang solat Surau An Nur, di Jalan Haji Ramli, Cimanggis, dekat Depok, Jawa Barat, Indonesia.

Wanita tersebut yang dipercayai gelandangan melahirkan anaknya seorang diri tanpa bantuan sesiapa dalam kejadian pada kira-kira jam 1.12 pagi.

“Assalamualaikum, min. Izinkan saya berkongsi video seorang ibu yang didakwa gelandangan pada awal pagi tadi (Khamis), yang baru sahaja melahirkan anaknya di ruang solat Surau An Nur,” tulis kapsyen pada video tersebut.

Menurut saksi, wanita yang lengkap berpakaian gaun putih dan kardigan hitam itu pada mulanya dilihat menuju ke surau tersebut dalam keadaan sarat mengandung.

Dia kemudian segera berbaring di ruang solat sebelum mengeluarkan air ketuban sehingga melahirkan bayi.

Turut kelihatan pada lantai surau adalah tompokan darah sebaik sahaja wanita itu bersalin.

Wanita itu kemudian membilas badan bayi yang baru lahir tersebut menggunakan air paip surau.

Apa yang menyedihkan, bayi tidak berdosa itu hanya ditinggalkan di bawah tangga surau sebelum wanita tersebut berlalu pergi dari lokasi.

Bayi malang itu kemudian diselamatkan oleh beberapa jemaah yang mahu menunaikan solat Subuh di surau berkenaan.

“Kini keadaan kanak-kanak itu selamat dan diserahkan kepada pihak polis,” kata saksi.

Sementara itu, Ketua Unit Perlindungan Perempuan dan Anak (PPA) Polis Metro Depok, Inspektor Nurhayati yang mengesahkan perkara tersebut berkata, bayi berkenaan berada dalam keadaan selamat dan sedang menjalani rawatan perubatan di Hospital Bhayangkara, Brimob.

“Jika dilihat pada rakaman CCTV (televisyen litar tertutup), wanita itu sudah dewasa dan bukanlah berusia muda. Saya juga dapat perhatikan terdapat beg galas padanya dan kemungkinan dia bukanlah penduduk tempatan,” katanya seperti dilapor Siap Viva.

Nurhayati berkata, pihaknya kini juga sedang mengambil keterangan tiga saksi berhubung kejadian itu dan masih mengesan jejak wanita tersebut.

Author

Pilihan Editor