HomeBeritaPolitik'Bukan Tun sukar disiasat pihak berkuasa, tapi 3 individu lain' - Dr...

‘Bukan Tun sukar disiasat pihak berkuasa, tapi 3 individu lain’ – Dr M

PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad menyangkal dakwaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai kesukaran untuk menyiasat individu berprofil tinggi khususnya yang bergelar Tun.

Sebaliknya, bekas Perdana Menteri dua kali itu menegaskan, terdapat tiga individu yang sukar untuk disiasat pihak berkuasa termasuk Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Jelasnya, sehingga kini tiada siasatan dibuat ke atas bekas Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Abdul Murad Khalid berhubung akuan berkanun (SD) yang dibuat pada tahun 1999.

Abdul Murad dilapor mendakwa, Anwar yang ketika itu menjadi pembangkang memiliki  RM3 bilion menerusi lebih 20 akaun bank.

“Anwar dihadapkan dengan tuduhan oleh Murad sehingga empat muka surat secara teliti. Tetapi, setakat pengetahuan saya, tiada sebarang siasatan.

“Jadi, yang susah untuk disiasat bukan Tun, tetapi Perdana Menteri,” katanya menerusi sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana, di sini pada Isnin.

Mengulas lanjut, bekas Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, meskipun Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berdepan dengan 47 pertuduhan mahkamah, namun Peguam Negara (AG) memutuskan untuk enggan meneruskan perbicaraan tersebut.

Dr Mahathir berkata, AG memaklumkan bahawa beliau berkuasa untuk tidak memberi penjelasan mengenai alasan perbicaraan itu dihentikan.

“Dalam negara ini, individu yang lebih berkuasa berbanding hakim persekutuan adalah AG kerana hakim persekutuan perlu menerangkan secara jelas sebarang asas keputusan, sebaliknya AG tidak perlu,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut menegaskan bahawa kes membabitkan adik Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, yang didakwa memiliki saham dengan jumlah melampau di sebuah syarikat juga perlu disiasat.

Katanya, siasatan yang perlu dibuat termasuk sumber kewangan dan jumlah syer yang diperolehi individu terbabit.

“Adik dia kena cerita sejak Azam Baki jadi Ketua SPRM. Ini sama seperti yang berlaku kepada anak saya yang perlu menceritakan dengan jelas mengenai sumber bisnes, duit dan harta sejak saya menjadi Perdana Menteri pada 1981 sehingga sekarang. Tak lama pun cuma 42 tahun.

“Kenapa adik Azam Baki tidak diminta untuk menjelaskan semua syer dia, sumber dia dapat duit, apa hubungan dengan abang dia?” soalnya.

Sebelum ini, Anwar dilapor berkata, bukan mudah untuk menjalankan siasatan terhadap golongan kenamaan.

Justeru, Anwar dilapor meminta rakyat menyokong usaha kerajaan dalam menyiasat golongan atasan, termasuk individu bergelar Tun berhubung kecurian dana kerajaan.

Dalam perkembangan sama, Dr Mahathir turut menyatakan beliau bersedia untuk disiasat sekiranya benar wujud dakwaan salah laku membabitkan dirinya sepanjang mentadbir negara sebelum ini.

Namun katanya, setakat ini tiada sebarang pihak tampil membuat sebarang tuduhan ke atas dirinya.

“Kalau ada tuduhan, sila beritahu apa tuduhannya supaya saya boleh lindungi diri saya dan mempertahankan diri di mahkamah.

“Saya tahu apa yang saya lakukan ini (membuat kenyataan ini), …orang ingat saya takut kena penjara. Saya dah berusia 98 tahun, kalau masuk penjara, mati dalam penjara…. Jika sudah mati, tidak perlu disiasat.

“Anwar kata bukan mudah untuk siasat Tun, tapi tengoklah bangunan Tun Daim Zainuddin (bekas Menteri Kewangan) sudah dirampas,” katanya.

Author

Pilihan Editor