SEORANG pengurus berusia 42 tahun di sebuah kedai serbaneka maut, apabila cuba mendapatkan semula sebungkus kerepek yang dicuri.
Rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) pada mulanya memaparkan, dua lelaki memasuki kedai di stesen minyak Sunoco, dekat Texas, Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat lalu.
Sementara itu, pengurus berkenaan dilihat berjalan di belakang mereka sambil membawa sebuah baldi untuk mengemop lantai.
Tidak beberapa lama kemudian, pengurus itu menyedari tindakan salah seorang pencuri tersebut ketika memasukkan bungkusan makanan ringan berkenaan ke dalam seluarnya.
Kedua-kedua pencuri itu kemudian berpura-pura membelek makanan lain di dalam premis, sebelum berlalu pergi tanpa membuat sebarang pembayaran.
Tidak berpuas hati, pengurus itu nekad mengekori mereka di luar kedai dan berhadapan dengan kedua-duanya.
Namun, pencuri terbabit segera beredar dari lokasi sebelum dikejar pengurus tersebut menggunakan kereta masing-masing.
Lapor New York Post, salah seorang pencuri tersebut bertindak melepaskan tembakan ke arah pengurus premis itu pada kira-kira jam 11.30 pagi.
Serangan itu menyebabkan pengurus tersebut maut selepas cedera terkena peluru, menurut polis.
Penolong Ketua Polis, Dan Zientek yang turut simpati dengan insiden itu berkata: “Tiada siapa yang menjangkakan bahawa seseorang akan keluar bekerja pada hari itu, namun tidak akan kembali lagi ke rumah.
“Mereka (pencuri) mula menembaknya, manakala dia (mangsa) cuba mengelak namun riwayat hidupnya berakhir di situ.”
Menurut polis, cermin hadapan dan tingkap penumpang pada kereta mangsa turut berlubang akibat terkena peluru.
Selepas kejadian itu, kedua-dua suspek melarikan diri tanpa kenderaan dan masih diburu polis.
“Anda kehilangan seorang warganegara hebat yang berusaha untuk bekerja dan menjalankan tugas mereka.
“Kami pula memiliki dua individu yang merosakkan kehidupan masing-masing apabila mereka akan dipenjarakan,” kata polis.