CYBERJAYA: Bermula Februari ini, orang ramai boleh memperbaharui cukai jalan kenderaan dan lesen memandu dengan hanya menerusi aplikasi MyJPJ.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pertambahan fungsi baharu tersebut dapat memudahkan orang awam untuk memperbaharui cukai jalan dan lesen memandu secara digital selain menjimatkan masa dan kos.
“Pelaksanaan urus niaga pembaharuan LKM melalui aplikasi ini akan dilaksanakan secara berfasa yang mana pada peringkat permulaan hanya membabitkan kenderaan persendirian individu (warganegara).
“Untuk menggalakkan penggunaan e-LMM, individu yang memilih Lesen Memandu Malaysia Digital (e-LMM) ketika pembaharuan akan menikmati rebat RM5, yang mana rebat ini akan dinikmati sepanjang tahun 2024 iaitu bermula 1 Februari hingga 31 Disember,” kata beliau lapor Berita Harian.
Menurutnya, inisiatif berkenaan terpakai untuk mereka yang memilih e-LMM semasa pembaharuan sama ada melalui kaunter JPJ, portal mySikap, aplikasi MyJPJ atau rakan niaga JPJ (Pejabat Pos Malaysia dan MyEG Services Berhad).
Jelasnya, inisiatif itu hanya untuk warga tempatan sahaja dan tidak terpakai kepada warganegara asing atau mana-mana pemegang pas, permit jangka masa panjang, Kad Pengenalan Pemastautin Sementara (MyKAS) serta Kad Pengenalan Pemastautin Tetap (MyPR).
Dalam pada itu, Anthony berkata, berdasarkan dapatan kajian dan analisa statistik sepanjang 2023, JPJ mendapati bilangan pemandu dan pemilik yang memilih digitalisasi semakin meningkat dengan 7.5 juta pengguna.
Bagaimanapun, bagi pemandu dan pemilik kenderaan yang masih belum bersedia sepanjang tempoh interim pendigitalan tahun 2024, mereka masih boleh memilih LKM dan LMM fizikal.
“Bagi tujuan penyesuaian dalam tempoh interim, JPJ Malaysia akan mengeluarkan LKM dan LMM fizikal berbentuk baharu dan diseragamkan dalam bentuk kertas keselamatan.
“Ia akan terus dilaksanakan selepas stok LKM dan LMM fizikal yang lama di cawangan-cawangan atau kiosk JPJ habis.
“LKM yang baharu ini tidak perlu dilekatkan atau dipamerkan pada cermin kenderaan seperti keperluan mengikut Seksyen 20(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 sebelum ini, sebaliknya ia disimpan mengikut kesesuaian orang awam.
“Kerajaan berharap inisiatif yang diumumkan pada hari ini adalah usaha MOT dan JPJ untuk mempermudahkan urusan pemilik LKM dan LMM seterusnya menyokong ke arah perkhidmatan pendigitalan yang terbaik kepada rakyat,” ujarnya.