KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Kewangan, Tun Dr Daim Zainuddin tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini, pada Isnin, dengan berkerusi roda bagi berdepan pertuduhan gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan harta.
Beliau bagaimanapun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, atas satu pertuduhan gagal mematuhi notis Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan tidak mengisytiharkan 70 aset hartanya dan satu bank akaun, Disember tahun lalu.
“Faham, faham, saya tidak bersalah, minta bicara,” kata Daim dalam nada yang perlahan seperti dilapor Sinar Harian.
Pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.
Mengikut pertuduhan, Daim, 86, yang memakai kot berwarna hitam, didakwa sengaja memberikan satu pernyataan bertulis secara bersumpah yang tidak mematuhi terma notis bawah Seksyen 36(1)(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 bertarikh 8 November 2023.
Notis itu dihantar kepada tertuduh oleh seorang Pesuruhjaya SPRM pada 14 November tahun sama, iaitu dengan tidak mengisytiharkan harta di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya, pada 13 Disember 2023.
Harta itu membabitkan aset antaranya akaun Amanah Saham Nasional Berhad (ASB), tujuh kenderaan seperti Jaguar serta Rolls Royce, 38 syarikat dan 25 hartanah/ tanah di ibu negara, Selangor, Negeri Sembilan, Perak dan Pahang.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan didenda maksimum RM100,000, jika sabit kesalahan.