HomeGlobalDakwa 'microwave' meletup, lelaki serang pekerja Taco Bell

Dakwa ‘microwave’ meletup, lelaki serang pekerja Taco Bell

SEORANG lelaki warga emas bertindak menyerang pekerja di sebuah restoran makanan segera terkenal, dalam kejadian di Long Island, Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini.

Kejadian bermula apabila pelanggan tersebut memasuki restoran Taco Bell dan mendakwa bahawa ketuhar gelombang mikro (microwave) miliknya meletup, selepas dia memanaskan makanannya dengan bekas beralas aluminium.

Menerusi video tular, lelaki itu dilihat berdiri di hadapan kaunter dan melakukan pertengkaran dengan pekerja tersebut.

Malah, dia juga melakukan ugutan untuk menyaman restoran itu berikutan kerosakan perkakas berkenaan.

Apabila pekerja itu bertanya sama ada dia mahu membuat pesanan baharu, lelaki tersebut menjawab dengan nada marah dan meminta lebih banyak makanan.

“Awak semua perlu bayar ganti rugi untuk microwave saya yang rosak. Ia meletup!” jerit lelaki tersebut seperti dilapor NDTV.

Lebih teruk, lelaki itu kemudian menampar pekerja terbabit, yang didakwa tersenyum dan membuat ejekan kepadanya.

Tidak beberapa lama kemudian, seorang wanita yang mendakwa pengurus restoran tersebut tampil meredakan keadaan tegang itu.

Tidak terhenti setakat itu, lelaki tersebut dilihat masih lagi tidak berpuas hati dan terus memaki hamun pekerja berkenaan.

Video berasingan turut memaparkan seorang pegawai polis sedang menyoal siasat pelanggan itu, manakala masih tidak dapat dipastikan sama ada terdapat sebarang pertuduhan dikenakan terhadapnya.

 

 

Author

Pilihan Editor