PENGURUS Liverpool, Jurgen Klopp menafikan pemain pertahanan, Joe Gomez akan terlibat dalam jendela perpindahan pada bulan ini.
Sebaliknya, Klopp menyifatkan Gomez sebagai pemain sepanjang hayat bagi kelab itu dan sama sekali tidak pernah meminta untuk meninggalkan Anfield.
Jelasnya, ketika Liverpool memperbaharui kontrak, pemain dari England itu bersetuju untuk menandatanganinya serta mahu kekal di kelab tersebut.
“Dia tidak pernah datang ke pejabat saya dan bertanya: ‘Bolehkah saya pergi?’.
“Saya menganggap dia dan isterinya mahu kekal di Liverpool sepanjang hayat,” katanya seperti dilapor The Mirror.
Pemain berusia 26 tahun itu mewakili Charlton Athletic sebelum menyertai The Reds di bawah kendalian Brendan Rogders pada 2015.
Sejak itu, dia mencatatkan kurang daripada 200 penampilan untuk kelab tersebut.
Masa depannya bersama Liverpool turut menjadi tanda tanya penyokong selepas mengalami kecederaan.
Namun, Klopp mendakwa bahawa dia tidak pernah meragui kualiti Gomez dan menganggap pemain itu kekal komited dengan kelab tersebut.
“Gomez mengalami pelbagai masalah kecederaan ketika berada di sini. Saya tidak pasti jumlahnya namun dia sudah berada di sini selama sembilan tahun.
“Jumlah perlawanan yang disertai tiada kaitan dengan kualitinya dan ia sama sekali tidak memberi kesan kepada saya atau Rodgers. Dia bermain agak kerap ketika saya berkhidmat di sini.
“Kemudian dia telah mengalami beberapa siri kecederaan setelah kembalinya dari tugasan antarabangsa bersama skuad bawah 19 tahun atau 21 tahun.
“Namun, ketika musim kami yang paling berjaya, dia bermain di bahagian tengah secara kerap di samping Virgil van Dijk,” ujarnya.
Gomez menandatangani kontrak bersama Liverpool sehingga musim panas 2027.
Musim ini, dia sudah pun membuat 24 penampilan manakala 16 daripadanya merupakan Liga Perdana Inggeris.
Meskipun kerap berada di posisi bek tengah, Gomez digantikan dengan bek kiri sejak beberapa minggu kebelakangan ini, selepas Andrew Robertson dan Kostas Tsimikas mengalami kecederaan.
Hujan lebat pada Selasa tidak menghalang Mohamed Salah menjaringkan dua gol, sekali gus mencatatkan kemenangan Liverpool 4-2 ke atas Newcastle United.