KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBL) menyita sebanyak sembilan gerai penjaja warga asing sekitar Jalan Silang dan Lebuh Pudu, di sini pada Isnin.
Menurut DBKL, tindakan tersebut dilakukan di bawah kesalahan menjalankan aktiviti perniagaan tanpa lesen dari pihak berkuasa menerusi peruntukan UUK 3, Undang-Undang Kecil Perlesenan Penjaja (WPKL) 2016.
“Kesemua barangan yang disita dipindahkan ke Setor Sitaan DBKL, Jalan Lombong Taman Miharja, Cheras untuk tindakan rekod dan dokumentasi,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Selasa.
Mengulas lanjut, DBKL berkata, selain sitaan terhadap penjaja, pihaknya turut mengeluarkan 35 notis kompaun pelbagai kesalahan ke atas kenderaan yang membuat halangan lalu lintas di sekitar kawasan Jalan Silang dan Lebuh Pudu.
Katanya, tindakan itu dibuat mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959.
“Tindakan penguatkuasaan akan diteruskan dari semasa ke semasa dengan kerjasama agensi penguatkuasaan lain selepas ini,” tambahnya.