NILAI: Seorang ibu tunggal sanggup membawa dua anak lelaki berusia enam dan 10 tahun untuk menginap di sebuah hotel di sini bersama seorang duda selepas menyambut ambang tahun baharu pada Isnin.
Bagaimanapun kegembiraan wanita berusia 37 tahun dan pasangannya berusia 41 tahun itu berakhir apabila bilik hotel mereka diserbu penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) kira-kira jam 2 pagi.
Wanita itu mendakwa menginap di situ kerana mahu memenuhi keinginan anaknya yang mahu tidur di hotel.
“Kami datang ke Nilai kerana nak bawa anak tengok pertunjukan bunga api dan sepatutnya selepas itu nak baliklah, tapi anak pula kata nak tidur hotel.
“Saya pun sebenarnya dah rasa tak sedap hati bila mendaftar masuk tadi, tapi sebab anak,” katanya kepada Sinar Harian yang turut serta dalam operasi berkenaan.
Dia juga memberitahu dalam proses berkahwin dengan duda anak satu terbabit tahun ini yang merupakan rakan arwah suaminya.
Sebelum itu, wanita berkenaan yang kakinya berbalut akibat kencing manis memaklumkan kepada penguat kuasa hanya dia bersama anak-anak yang menginap di situ.
Bagaimanapun selepas pemeriksaan lanjut dilakukan, lelaki itu ditemui menyorok di belakang pintu tandas.
Selain itu, seorang wanita berusia 24 tahun dan pasangan warga Bangladesh berusia 26 tahun yang merupakan pekerja pembersihan antara turut ditahan.
Ketika bilik hotel mereka diperiksa, wanita itu yang lengkap berpakaian menyorok di dalam tandas manakala pasangannya hanya memakai boxer.
Turut ditemui iaitu kondom di atas katil berselerak yang terdapat kesan tompokan darah.
Sementara itu Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) dan Penolong Pengarah (Kanan) Ahmad Zaki Hamzah berkata, dalam operasi yang bermula jam 1 hingga 3 pagi itu, seramai enam pasangan telah ditahan pihaknya dalam pemeriksaan di 16 buah hotel di Nilai.
“Pasangan berumur antara 20-an hingga 41-an itu ditahan mengikut Seksyen 61(1) Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 (Pindaan 2019).
“Kebanyakan mereka memberitahu ‘check in’ di hotel selepas menyambut tahun baharu. Ada juga ditahan merupakan pelajar kolej,” katanya.
Ujarnya, sememangnya setiap kali malam sambutan tahun baharu akan ada pasangan bukan mahram ditahan kerana cuba melakukan percubaan persetubuhan haram dengan menginap di hotel.
Justeru katanya, pihaknya akan sentiasa melaksanakan operasi sebegitu dari semasa ke semasa bagi mencegah perbuatan yang melanggar hukum syarak.
“Malam tahun baharu ini kita boleh katakan sebagai ‘malam panas’ dan disebabkan itu dari semasa ke semasa operasi ini akan dilakukan,” katanya. – Sinar Harian