HomeBeritaPM lancar sistem PADU esok

PM lancar sistem PADU esok

CYBERJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal melancarkan sistem Pangkalan Data Utama (PADU) di Perdana Hall, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), esok.

Majlis peluncuran PADU yang dijadual berlangsung pada 8.30 pagi itu bakal dihadiri oleh Menteri, Timbalan Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri.

Memetik Utusan, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin akan membentangkan mengenai PADU terlebih dahulu dan satu sesi forum turut diadakan dengan tajuk ‘Memacu Peralihan Melalui PADU’.

Perdana Menteri dijangka melancarkan sistem PADU pada jam 12.45 petang sebelum melakukan lawatan ke pameran.

Sementara itu, Kementerian Ekonomi menjemput orang ramai untuk hadir ke pelancaran PADU bagi menyaksikan bagaimana sistem itu menjadi komponen utama penyasaran semula subsidi dan bantuan kerajaan.

Menterinya, Rafizi Ramli berkata, mereka yang tidak dapat menyertai acara itu boleh mengikutinya secara maya yang akan disiar dalam media sosial mulai 10 pagi Selasa.

Katanya, selepas PADU dilancar Perdana Menteri, sistem itu akan dibuka kepada seluruh rakyat Malaysia untuk mengesahkan atau mengemas kini data isi rumah mereka selama tiga bulan iaitu dari 2 Januari ini hingga 31 Mac depan.

“PADU adalah satu pangkalan data sosioekonomi negara yang bersepadu dengan menggabungkan semua data dari jabatan dan agensi kerajaan untuk memberi gambaran seadilnya kedudukan sosio-ekonomi setiap isi rumah rakyat Malaysia.

“Kewujudan PADU membolehkan kerajaan beralih dari pendekatan B40-M40-T20 dalam menilai kelayakan penerima bantuan kepada pendekatan yang lebih bersasar dan adil untuk mengelakkan keciciran (mereka yang patut dapat tercicir, mereka yang tidak patut dapat menerima bantuan),” tulisnya di Facebook rasminya sebelum ini.

Untuk rekod, PADU dibangunkan sepenuhnya penjawat awam dari tiga agensi utama yang terdiri daripada Kementerian Ekonomi, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) yang melibatkan kerjasama semua agensi lain.

Malah, PADU dibangunkan dengan menggunakan peruntukan sedia ada dan segala infrastruktur yang telah ada tanpa perlu membuka tender baru kepada pihak swasta.

Sehubungan itu, bagi memastikan rakyat yang layak menikmati program bersubsidi bersasar daripada kerajaan dinasihatkan untuk mengemas kini data mereka menerusi PADU dan bagi yang layak tetapi enggan berbuat demikian tidak akan dikenakan sebarang tindakan.

Sekiranya rakyat tidak membuat pengemaskinian data berisiko untuk tercicir daripada mendapat bantuan tersebut memandangkan kerajaan hanya akan menggunakan data sedia ada untuk menentukan kelayakan bagi setiap program bantuan.

Author

Pilihan Editor