HomeBeritaIstiadat Keberangkatan Balik Agong: Ribuan rakyat memenuhi Jalan Parlimen

Istiadat Keberangkatan Balik Agong: Ribuan rakyat memenuhi Jalan Parlimen

KUALA LUMPUR: Penjawat awam dan orang ramai mula berkumpul seawal jam 7 pagi bagi menyaksikan sempena Istiadat Keberangkatan Balik Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pagi ini.

Difahamkan, lebih 3,000 orang ramai dan penjawat awam daripada pelbagai kementerian akan membarisi di kiri dan kanan Jalan Parlimen.

Mereka dilihat berkumpul di tepi jalan di sepanjang Jalan Parlimen, di sini, dengan sebahagiannya berpakaian tradisional batik sambil memegang Jalur Gemilang, bagi menyertai majlis lambaian kasih dan selamat tinggal kepada pasangan diraja itu.

Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bergerak dari Istana Negara, menuju ke bangunan Parlimen pada jam 8.30 pagi.

Selesai istiadat di Parlimen, Yang Di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong akan melalui Jalan Padang Merbok menuju ke Bulatan Kinabalu sebelum bergerak ke Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, seramai 91 pegawai dan anggota JSPT terbabit dalam istiadat berkenaan termasuk mengiringi dif-dif kenamaan.

“Jumlah ini tidak termasuk dengan kekuatan pegawai dan anggota yang mengawasi kelancaran lalu-lintas di sekitar laluan-laluan utama di ibu negara.

“Sehingga jam 8.30 pagi tadi keadaan lalu-lintas terkawal dan kita akan memastikan istiadat ini bergerak lancar,” katanya ketika dihubungi BH sebentar tadi.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut memaklumkan tujuh laluan akan terbabit dengan penutupan penuh manakala 13 laluan di sekitar ibu negara akan ditutup secara berperingkat sempena istiadat keberangkatan balik berkenaan.

Beberapa jalan utama dan lebuh raya sekitar ibu kota akan ditutup secara berperingkat mulai jam 9 hingga 10 pagi ini, dengan penutupan penuh laluan akan dibuat di Jalan Damansara, Jalan Sultan Abdul Halim dan Lebuhraya Sultan Iskandar menuju ke Jalan Parlimen.

Pasangan diraja itu dijadual berangkat balik dari Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 10 pagi sebelum berlepas pulang ke pangkuan rakyat Pahang. – Berita Harian

Authors

Pilihan Editor