HomeHiburan'Jangan syok sendiri, bukan acara kau seorang' - Elly Mazlein

‘Jangan syok sendiri, bukan acara kau seorang’ – Elly Mazlein

PELAKON dan penyanyi, Elly Mazlein tidak ‘berminat’ untuk mempedulikan dakwaan bahawa dirinya seringkali menenggelamkan rakan pengacara lain apabila mengendalikan sesebuah program.

Tanpa merujuk kepada mana-mana pihak, Elly atau Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi, 44, beranggapan perkara itu tidak seharusnya menjadi isu yang rumit.

“Sebagai kawan-kawan, sepatutnya boleh berbincang sebab ada bacaan skrip, jadi jangan syok sendiri sebab bukan acara kau seorang tetapi bersama. Itu sebabnya kita jangan shaking (tercabar).

“Jangan ilusi macam saya nak lebih ke apa tidak. Kena ingat bahawa program tersebut dimiliki oleh syarikat dan kita ada kerja, sepatutnya buat sebaik mungkin.

“Malas hendak bergaduh sebab rezeki sebab malu ditambah pula sesama orang Islam. Nasihat saya, jangan tercabar, itu sahaja,” katanya, memetik portal HibGlam pada Khamis.

Dalam pada itu, Elly turut menyatakan dirinya tidak kisah sekiranya ada pihak mahu memboikot dirinya disebabkan prinsipnya kerana sentiasa percaya rezeki sudah diatur oleh Tuhan.

“Saya lebih selesa memikirkan tentang ketenangan dan positiviti serta tiada masa nak fikir tentang hal sampah.

“Sejujurnya selepas menang anugerah Pengacara Paling Popular (ABP35) tahun lalu, saya dapat merasakan kesukarannya. Saya lahir dalam industri ini bukan sebagai pencabar.

“Kita sama-sama mencari rezeki dan ingin kerja dengan ikhlas. Kalau mahu bergaduh pasal rezeki, saya memang akan tarik diri,” ujarnya.

Untuk rekod, Elly mengejutkan ramai apabila menarik diri sebagai hos program All Stars Gegar Vaganza pada tahun lalu.

Sehingga hari ini, dia masih tidak menyatakan secara lanjut punca penarikan diri itu dan hanya memaklumkan keputusan tersebut diambil kerana mahu memberi keselesaan kepada orang lain.

Author

Pilihan Editor