USAHAWAN selebriti, Neelofa mengingatkan orang ramai supaya tidak menekan butang klik pada pautan dihantar sindiket pelaburan atas talian atau scammer yang cuba mengguna namanya.
Menerusi perkongsian di Instagram, Neelofa atau Noor Neelofa Mohd Noor, 35, menegaskan, segala paparan artikel palsu dihantar pihak terbabit yang menyatakan dia berjaya meraih pendapatan lumayan hanya dengan klik pada pautan itu hanya sekadar ‘umpan’ memancing mangsa.
“Kalau sesiapa baca ini, atau ternampak tajaan iklan serta berita dalam Instagram seperti saya tunjukkan ini, itu semua adalah adalah scam.
“Tolong jangan tekan link (pautan) dalam artikel itu, antaranya sebab temu bual itu cuma naratif mereka sendiri untuk menipu orang Malaysia.
“Dengan kes ‘interview’ yang sangat palsu serta pautan diberi itu untuk curi duit anda semua, jangan terpedaya dengan konten artikel yang semuanya palsu,” tulisnya di Instagram.
Dalam hantaran itu, Neelofa turut memuat naik paparan artikel serta gambar palsu seperti didakwanya.
Menurutnya, paparan tersebut adalah sebahagian modus operandi digunakan scammer supaya ramai orang tertarik dengan iklan mendapatkan wang menerusi cara mudah.
“Ramai orang tertipu sekarang dengan scammer. Minta semua hati-hati dengan konten palsu seperti itu.
“Ini salah satu cara atau jalan untuk membuatkan orang percaya kononnya saya buat duit hanya melalui pautan tersebut,” tulisnya lagi.