HomeBerita'Kalau stok air habis, mungkin saya tidak berniaga' - Pengusaha kedai makan

‘Kalau stok air habis, mungkin saya tidak berniaga’ – Pengusaha kedai makan

CYBERJAYA: Gangguan bekalan air berjadual yang berlaku di sekitar Teluk Kumbar, Pulau Pinang mengakibatkan beberapa restoran dan gerai makan ditutup buat sementara waktu.

Malah, ada sebilangan yang masih beroperasi namun terpaksa menggunakan pinggan pakai buang sepanjang gangguan air berjadual itu berlaku bagi mengelak penggunaan air yang banyak, lapor Utusan pada Rabu.

Seorang peniaga gerai makanan dan minuman, Surina Ahmad berkata, dia menggunakan air yang disimpan di dalam beberapa buah tong besar yang diletakkan digerainya untuk terus berniaga.

”Air yang disimpan ini ditadah semalam, setakat ini saya masih berniaga kerana air yang disimpan masih ada, mungkin air ini dapat bertahan sehingga tiga hari.

”Sekiranya air yang disimpan sudah habis mungkin saya tidak berniaga. Saya juga menggunakan pinggan pakai buang bagi menjimatkan air semasa gangguan air berlaku,” katanya.

Kira-kira 590,000 pengguna air di Pulau Pinang kini berdepan masalah gangguan bekalan air berjadual sehingga 14 Januari ini.

Gangguan tersebut yang turut melibatkan pengguna bukan domestik di semua kawasan perindustrian utama berlaku untuk membolehkan PBAPP menjalankan kerja pembaikan paip segera di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua.

Author

Pilihan Editor