SEBUAH syarikat didakwa membuat penganiayaan ke atas kakitangannya, selepas melakukan perpindahan dari pusat bandar ke kawasan pergunungan terpencil.
Difahamkan, langkah itu dibuat bagi mengurangkan kos, sekali gus memaksa kakitangannya meletakkan jawatan secara sukarela.
Oleh itu, syarikat tersebut tidak lagi perlu memecat kakitangannya dan terpaksa membayar pampasan.
Perkara itu didedahkan oleh bekas kakitangan syarikat tersebut yang dikenali sebagai Chang.
Menurut Chang, ibu pejabat syarikat pengiklanan itu terletak di Xian, dekat wilayah Shaanxi, China.
Lelaki itu menyifatkan bahawa, lokasi baharu syarikat yang terletak di Pergunungan Qinling sebagai sangat terpencil, memerlukan perjalanan sehala selama dua jam serta akses terhad kepada pengangkutan awam.
“Rakan sekerja saya yang tidak memiliki kenderaan terpaksa bergantung pada bas dan menempuh perjalanan selama tiga jam. Dia kemudian terpaksa berjalan kaki sejauh tiga kilometer (km) dengan melalui kawasan pergunungan untuk tiba ke pejabat,” katanya seperti dilapor South China Morning Post.
Katanya, tambang perkhidmatan teksi dari stesen kereta api terdekat adalah bernilai 50 yuan (RM32) hingga 60 yuan (RM39), manakala syarikat itu enggan menawarkan subsidi perjalanan.
Tambah Chang, risiko keselamatan di tapak lokasi syarikat juga tidak terjamin serta tidak memiliki kemudahan sesuai.
Malah, kakitangan wanita pula terpaksa menggunakan tandas awam di kawasan perkampungan, yang terletak jauh dari syarikat berkenaan.
Chang turut membangkitkan kebimbangan mengenai isu keselamatan kakitangan ketika perjalanan pulang ke rumah pada waktu malam, berikutan kehadiran anjing liar di kawasan itu akan menganggu orang ramai.
Berikutan situasi tersebut, seramai 14 daripada lebih 20 kakitangan sudah menandatangani perjanjian peletakan jawatan, selepas gagal membuat bantahan.
Namun, empat hari selepas mereka tidak lagi bekerja di situ, syarikat tersebut berpindah semula ke lokasi lama di bandar serta sedang giat membuat pengambilan pekerja baharu.
Justeru, para kakitangan meyakini bahawa syarikat itu sengaja mewujudkan syarat tidak masuk akal untuk memaksa mereka meletakkan jawatan.
Sementara itu, wakil syarikat yang dikenali sebagai Zhang tampil menyangkal dakwaan tersebut, dengan alasan bahawa langkah berkenaan adalah hanya sementara bagi mengurangkan kos.
“Kos sewa di pusat bandar adalah tinggi dan pejabat baharu sedang diubah suai. Kami akan berpindah sementara di inap desa (homestay) di sana selama seminggu,” katanya.
Zhang berkata, tindakan undang-undang terhadap seorang kakitangan sedang dipertimbangkan, susulan mencemarkan nama baik syarikat dan menyebabkan potensi kerugian perniagaan.
Pada masa sama, seorang kakitangan menyangkal dakwaan Zhang bahawa, tempoh bekerja di kawasan pergunungan itu adalah hanya seminggu.
Kakitangan itu sebaliknya memberitahu bahawa, tempohnya adalah sangat lama dan dijangka berlanjutan sehingga tahun depan.