HomeBeritaLagi 'mini Dhaka' digempur

Lagi ‘mini Dhaka’ digempur

BERANANG: Pangsapuri Baiduri di Bandar Tasik Kesuma, di sini yang diibarat penduduk seperti ‘mini Dhaka’ digempur pihak berkuasa dalam Operasi Penguatkuasaan Imigresen, tengah malam tadi.

Operasi bermula 12 tengah malam itu membabitkan lebih 500 pegawai dan anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Putrajaya, Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka dan Perak.

Ia dijalankan dengan kerjasama Pasukan Gerakan Am (PGA) Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, serbuan itu dijalankan susulan aduan diterima daripada penduduk dan tujuh blok pangsapuri diperiksa.

“Daripada 752 warga asing diperiksa, seramai 561 warga asing terdiri daripada 447 lelaki, 87 wanita serta 27 kanak-kanak berusia antara tiga bulan hingga 55 tahun ditahan.

“Warga asing yang paling ramai ditahan adalah Bangladesh iaitu 205 orang, Myanmar (200), Nepal (65), Indonesia (43), Pakistan (38), Sri Lanka (3), India (2), Kemboja (2), Seirra Leon (2) dan Cameroon (1),” katanya kepada pada sidang media, sejurus operasi.

Menurutnya, semasa operasi dijalankan, ada segelintir warga asing cuba melarikan diri, namun berjaya ditahan anggota bertugas yang melakukan kepungan di kawasan berkenaan.

“Maklumat diperoleh pasukan operasi mendapati hampir 80 peratus kediaman di pangsapuri ini didiami warga asing yang mendatangkan kebimbangan terhadap penduduk tempatan.

“Kita terima aduan daripada penduduk termasuk mereka yang gelarkan kawasan ini sebagai ‘mini Dhaka’.

“Majoriti warga asing yang tinggal di sini menyewa rumah dengan bayaran antara RM600 hingga RM800 sebulan dengan ada antaranya didiami sehingga 10 orang,” katanya.

Ruslin berkata, pangsapuri terbabit adalah antara 220 lokasi hotspot warga asing di seluruh negara dengan Selangor mencatatkan kawasan panas paling banyak.

“Warga asing ini bila sudah lama tinggal di satu-satu tempat, jumlah mereka semakin ramai. Bila ramai, mulalah mereka berniaga dan buat aktiviti ekonomi sendiri.

“Apabila itu berlaku, lokasi itu akan dijadikan sebagai tempat mereka menjalankan urusan harian dalam kelompok mereka serta membuat aktiviti seperti rakyat tempatan dan perkara itu kita mahu elakkan,” katanya.

Katanya, kesemua tangkapan berkenaan dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Semenyih untuk pemeriksaan lanjut.

Dalam perkembangan berasingan, pihaknya melakukan sebanyak 870 operasi di seluruh negara dengan 9,169 warga asing diperiksa bagi tempoh 1 hingga 18 Januari lalu.

“Daripada jumlah itu, 4,026 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan selain 42 majikan ditahan dalam operasi berkenaan.

“Dari segi pengusiran pula, seramai 38,978 PATI diusir sepanjang tahun lalu dan setakat ini (dari 1 hingga 18 Januari lalu), 1,467 PATI diusir,” katanya. – Harian Metro

Author

Pilihan Editor