HomeBeritaMansuh pencen, bilangan penjawat awam bakal menyusut

Mansuh pencen, bilangan penjawat awam bakal menyusut

CYBERJAYA: Negara dijangka berdepan dengan kekurangan bilangan penjawat awam dalam tempoh 10 tahun akan datang, berikutan keputusan pelaksanaan penjawat awam baharu berstatus tetap tidak berpencen.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Razali Idris memberi contoh bahawa ketika ini Kementerian Kesihatan (KKM) mempunyai kira-kira 250,000 kakitangan awam dan jumlah itu pasti akan menyusut.

“Ia kerana, bakal pembantu perubatan, bakal jururawat, bakal ahli farmasi dan x-ray serta bakal doktor lebih bersedia berkhidmat di klinik dan hospital swasta serta di luar negara.

“Kementerian Pendidikan (KPM) mempunyai kira-kira 503,000 kakitangan terutama guru yang sentiasa berkorban demi anak bangsa, tetapi bayangkan akan berlaku kekurangan bagi tempoh 10 tahun mendatang kerana tawaran kontrak dan tidak berpencen.

“Periuk nasi penjawat awam telah terusik akibat keputusan Kabinet yang fikirkan keuntungan ke atas permasalahan ekonomi yang kerajaan Perpaduan gagal mengatasi dalam tempoh setahun lalu,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Pada Rabu, Kabinet bersetuju untuk menetapkan syarat bahawa penjawat awam baharu berstatus tetap selepas ini adalah tidak berpencen.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, status pencen penjawat awam sedia ada tidak akan terjejas, namun golongan yang baharu dilantik kelak perlu membuat caruman menerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Sebelum ini, perkara tersebut dimaklumkan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz menerusi satu pekeliling, yang dikatakan bakal mengukuhkan sistem saraan perkhidmatan awam di negara ini.

Mengulas lanjut, Razali mempersoalkan hala tuju kerajaan kerana ia melibatkan keputusan yang besar dalam sektor awam.

“Belum sempat isu pengambilan penjawat awam baharu hanya diberikan secara kontak, Kerajaan Perpaduan Madani terus umum tiada lagi berpencen dalam sektor awam.

“Tahniah diucapkan di atas pemikiran hebat di luar kotak barisan Kabinet PMX, tetapi takziah buat barisan penjawat awam yang selama ini menjadi tulang belakang pentadbiran negara.

“Ketua Setiausaha Negara (Tan Sri Mohd Zuki Ali) tidak bersalah dalam hal ini kerana beliau terpaksa akur sebagai seorang penjawat awam tertinggi negara walaupun mengetahui tindakan drastik kerajaan telah mengundang ketidakpuasan dalam penjawat awam sekarang,” katanya.

Justeru, Razali berkata, Perikatan Nasional (PN) akan bersama dengan 2.3 juta penjawat awam untuk menjadikan isu itu sebagai agenda nasional yang perlu dipertahankan secara bersama.

 

 

 

 

Author

Pilihan Editor