SEORANG pengantin perempuan di China dikhuatiri cacat seumur hidup, selepas mukanya melecur teruk ketika hari perkahwinannya.
Pada 23 Disember, wanita dari Taizhou, dekat wilayah Zhejiang, China yang enggan namanya didedahkan memuat naik gambarnya bersama pengantin lelaki, manakala media sosialnya dibanjiri ucapan tahniah atas hari bahagianya.
Empat hari selepas itu, dia memuat naik gambar dan video berasingan memaparkan mukanya berbalut serta kesan hitam dilihat ketara pada kening dan pipinya.
Wanita muda itu memberitahu bahawa perubahan drastik pada wajahnya adalah akibat daripada gas-charged streamers, sejenis aerosol yang digunakan ketika parti dan mengeluarkan pita berwarna-warni.
Video yang dimuat naik wanita itu memaparkan, dia pada mulanya keluar dari sebuah kereta perkahwinan dengan memakai gaun pengantin tradisional Cina sambil tersenyum.
Keterujaannya menyambut hari bahagia itu terhenti apabila dia disambut dengan pita streamer sehingga menyukarkannya untuk bergerak.
Wanita itu cuba untuk menutup mukanya dan melindungi dirinya dalam pelukan pengantin lelaki, manakala kepulan asap juga dilihat keluar dari rambutnya.
Ketika berjalan di sebuah lorong, ekspresi wajahnya menunjukkan bahawa dia sedang mengalami kesakitan.
“Pada mulanya, saya hanya terasa panas di muka, namun keesokan harinya muka saya dipenuhi dengan lepuh, ” katanya seperti dilapor South China Morning Post.
Sambutan menggunakan gas-charged streamers menjadi adat perkahwinan terkenal di Taizhou sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Selain mewujudkan suasana perayaan yang meriah, harganya juga berbaloi serta mudah dibersihkan dan tidak melekat pada pakaian.
Namun, ia membawa risiko keselamatan berikutan kandungannya yang bercampur dengan pelarut organik mudah terbakar seperti etanol atau metana.