PUTRAJAYA: Pangkalan Data Utama (PADU) yang dilancarkan pada Selasa dijangka dapat mengelakkan ketirisan dalam pemberian bantuan dan subsidi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kewujudan sistem maklumat bersepadu itu juga akan menjamin bantuan dan subsidi supaya dinikmati individu yang berhak.
“Subsidi yang diberikan kerajaan mencecah RM80 bilion. Dalam semua kajian, (subsidi) tidak sampai sepenuhnya kepada kumpulan sasaran.
“Sistem PADU adalah selaras dengan pendekatan transformasi digital dan menjamin manfaat kemudahan dinikmati orang berhak dan tentunya dengan cara itu (dapat) kurangkan kos dan ketirisan,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, penyasaran semula subsidi adalah penting, memandangkan ketika ini subsidi yang mencecah RM80 bilion dinikmati golongan kaya dan bukan warganegara.
Beliau berkata, penyasaran semula subsidi membabitkan elektrik memperlihatkan golongan kaya yang menjadi pengguna tinggi elektrik tidak lagi menikmati subsidi.
Katanya, penyasaran semula subsidi elektrik itu membolehkan penjimatan lebih RM4 bilion.
PADU dibangunkan melalui kepakaran dalaman Kementerian Ekonomi, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), dengan kerjasama dan sokongan pelbagai kementerian, agensi serta kerajaan negeri.
Hasil daripada komitmen dan kesungguhan semua yang terbabit, PADU dapat direalisasikan dalam tempoh enam bulan.
‘PADU Go-Live‘ bermula Selasa dan ia akan dibuka sehingga 31 Mac 2024 kepada pengguna bagi membolehkan pengemaskinian maklumat individu.
Pengemaskinian itu penting bagi membolehkan kerajaan mempunyai maklumat terkini dan memastikan tiada individu yang tercicir daripada menerima bantuan selayaknya.