HomeHiburanPelakon Mary Poppins meninggal dunia pada usia 100 tahun

Pelakon Mary Poppins meninggal dunia pada usia 100 tahun

Pelakon Britain, Glynis Johns yang popular dengan watak dalam filem muzikal ‘Mary Poppins’ disahkan meninggal dunia pada usia 100 tahun, pada Khamis.

Menurut pengurusnya, Mitch Clem, Johns meninggal dunia akibat sakit tua di rumahnya di Los Angeles, lapor Los Angeles Times.

Glynis Johns // Los Angeles Times

Johns muncul dalam berpuluh-puluh filem sepanjang 60 tahun pembabitannya dalam bidang seni, namun peranannya dalam Mary Poppins sebagai Winifred Banks adalah yang paling meninggalkan kesan dalam industri filem.

Johns pernah melakonkan watak ikan duyung dalam filem Miranda pada 1948 dan kemudian muncul dalam dua sekuel Mad About Men pada 1954.

Beliau dicalonkan untuk Anugerah Akademi berikutan peranannya sebagai penjaga hotel dalam filem The Sundowners bersama Robert Mitchum, Deborah Kerr dan Peter Ustinov.

Johns turut kerap membuat penampilan TV dan membintangi sitkom AS Glynis pada tahun 1963.

Karya lakonannya yang terakhir ialah dalam filem Superstar 1999 yang turut dibintangi oleh Molly Shannon dan Will Ferrell.

Untuk rekod, Johns dilahirkan pada 5 Oktober 1923 di Afrika Selatan semasa ibu bapanya mengembara untuk persembahan pentas di sana.

Author

Pilihan Editor