SEORANG lelaki berjaya memperdayakan pekerja di sebuah stesen minyak, apabila tidak membuat pembayaran sebaik sahaja mengisi penuh minyak petrol pada kenderaannya.
Dalam kejadian pada jam 7.10 petang Khamis itu, lelaki licik tersebut sebaliknya bertindak memecut kenderaan jenis Perodua Alza miliknya bagi mengelakkannya membuat pembayaran.
Menurut perkongsian di media sosial Wong Siong Junn, lelaki tersebut pada mulanya berjanji akan membuat pembayaran melalui kod QR sebaik sahaja selesai mengisi minyak pada kenderaannya di stesen minyak di Jalan Rasah, dekat Seremban, Negeri Sembilan.
“Namun, dia selepas itu terus pergi tanpa membuat pembayaran.
“Kecuaian staf percaya pada dia. Kesian juga staf kena tanggung (kerugian). Harap lelaki tersebut tampil untuk langsaikan pembayaran,” katanya.
Pada masa sama, Siong Junn turut berkongsi gambar memaparkan aksi individu terbabit ketika membuat urusan bersama pekerja stesen minyak terbabit.
Turut disertakan pada gambar yang dirakam menerusi televisyen litar tertutup (CCTV) itu adalah notis stesen minyak itu yang mendedahkan maklumat kejadian.
“Sesiapa yang kenal pelanggan ini, tolong minta dia datang dan bayar,” tulis notis itu.
Malah, notis itu turut memberi amaran kepada para pelanggan untuk membuat pembayaran terlebih dahulu, sebelum mengisi minyak pada kenderaan masing-masing.
“Kepada pelanggan yang dihargai, kami buka minyak berdasarkan berapa wang yang dikutip daripada pelanggan.
“Jika ingin pam penuh (full tank), sila bayar lebih daripada yang boleh isi dan dapatkan balance (baki) selepas siap isi minyak,” tulis notis tersebut.
Setakat artikel ini ditulis, masih belum ada sebarang kenyataan pihak berkuasa berhubung kejadian tersebut.