HomeSukanDana RM5 juta kurangkan beban kewangan FAM - Hannah Yeoh

Dana RM5 juta kurangkan beban kewangan FAM – Hannah Yeoh

CYBERJAYA: Dana RM5 juta yang diperuntukkan kerajaan menerusi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) adalah bagi mengurangkan beban kewangan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, dana tersebut boleh diaudit pada bila-bila masa bagi memastikan segala perbelanjaan dibuat mengikut syarat yang ditetapkan Kementerian Kewangan.

Beliau berkata, dana tersebut tidak boleh digunakan untuk kos operasi pejabat, bil utiliti dan pembayaran emolumen FAM.

“Pasukan Harimau Malaya perlukan lebih banyak pendedahan luar negara. Sekali terbang bukan murah. Dana RM5 juta ini hanya mampu membantu kurangkan beban kewangan FAM dan mereka masih perlu cari dana tambahan.

“Kita ada 103 jenis sukan. Bukan semua sukan mempunyai peminat yang sama banyak. Sekali buat skrin besar, beribu-ribu rakyat keluar menonton. Ekosistem bola sepak dunia juga berbeza. Piala Dunia dan Piala Asia melibatkan duit berbilion USD.

“Bola sepak negara sudah ada kemajuan. Sebagai kerajaan, kita bantu setakat yang mampu,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Sabtu.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan RM5 juta kepada FAM, bagi mengurus dan meningkatkan keupayaan skuad bola sepak kebangsaan.

Mengulas mengenai pertikaian segelintir pihak berhubung nilai peruntukan itu, Hannah mengakui beliau pernah mempunyai mentaliti sama sebelum memahami dengan lebih mendalam berkaitan sukan tersebut.

Namun, katanya, sukan bola sepak negara ketika ini sudah berkembang menjadi lebih baik.

Jelasnya, perkara itu dapat dilihat apabila skuad Harimau Malaya berjaya layak secara merit ke Piala Asia buat kali pertama dalam tempoh 42 tahun.

“Ranking Harimau Malaya dalam pasukan E paling bawah. Mereka ke sana untuk melakukan yang terbaik. Mereka cuba. Lawan Jordan, kalah.

“Mereka cuba lagi, lawan Bahrain, main dengan baik tapi saat akhir pihak lawan jaringkan satu gol. Lawan Korea Selatan mampu seri 3-3. Sekali lagi, bandingkan ranking dalam jadual ini,” katanya.

Pada masa sama, Hannah berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Kim Pan-gon bagi mendengar rancangan jurulatih Harimau Malaya itu.

Selain itu,beliau berkata, semua pandangan pakar akan diterima termasuk pandangan membina daripada pengkritik yang turut bersama-sama mahu melihat kejayaan pasukan negara.

“Bola sepak lazimnya dikenali sebagai sukan rakyat.

“Adalah wajar bagi PMX dan KBS membuat keputusan dengan menyalurkan dana tambahan kepada FAM setelah Harimau Malaya berjaya mengeluarkan taring di Piala Asia dan rata-rata penyokong bola sepak negara sangat menghargai usaha yang telah dilakukan oleh Harimau Malaya.

“Kita perlu selalu percaya kepada proses. Lambat atau cepat, saya pasti Harimau Malaya akan berjaya suatu hari nanti,” ujarnya.

Author

Pilihan Editor