KERANA pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa. Itulah peribahasa yang digunakan setiap kali mengaitkan percakapan kasar atau terlanjur bicara dan akhirnya mengundang ‘musibah’ untuk diri sendiri.
Perumpamaan itu juga boleh menggambarkan apa yang berlaku terhadap pelakon terkenal, Datuk Rosyam Nor susulan cadangannya agar diwujudkan pusat pelacuran khas untuk warga asing.
‘Keceluparan’ itu akhirnya mengundang kecaman dan kritikan keras orang ramai termasuk mufti dan golongan profesional yang menentang cadangan yang dibuat selebriti tersebut.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor, misalnya, menempelak cadangan berkenaan sambil menyifatkan bahawa perkara berkenaan amat bercanggah dengan kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara yang menobatkan Islam sebagai agama Persekutuan dalam Perlembagaannya.
Malah tegasnya, perkara berkenaan juga seolah-olah menggalakkan maksiat di negara ini sedangkan ramai dalam kalangan pekerja asing itu terdiri dalam kalangan orang beragama Islam.
Setelah diberi teguran dan kritikan akhirnya Rosyam Nor atau nama sebenarnya Mohamed Noor Shamsuddin, 57, tampil menjelaskan situasi sebenar berhubung cadangannya itu, dan turut memohon maaf.
Katanya, rakaman yang tersebar berkenan merupakan video promo untuk program podcast terbitan Suhan Channel.
Jadi apa pengajaran yang boleh kita ambil di sebalik cadangan sensasi ini? Sebagai rakyat Malaysia kita seharusnya peka dengan sensitiviti lebih-lebih lagi melibatkan soal agama.
Janganlah kita memberi pandangan dan cadangan yang boleh menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat berbilang bangsa dan agama di negara ini.
Ingatlah fikir dahulu, sebelum mengeluarkan kata-kata atau pandangan apatah lagi jika kita berstatus seorang public figure yang mungkin akan mempengaruhi orang lain.
Maka marilah kita bersama-sama mengelak daripada memberi pandangan yang boleh mencetuskan kontroversi. Beringatlah sebelum berkata-kata kerana tersilap kata buruk padahnya. – Sinar Harian