HomeBeritaPenjawat awam perlu kemas kini maklumat PADU sebelum 15 Februari

Penjawat awam perlu kemas kini maklumat PADU sebelum 15 Februari

CYBERJAYA: Maklumat dan data penjawat awam dalam Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) perlu dikemas kini dengan kadar segera selewat-lewatnya pada 15 Februari ini.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, melalui surat pekeliling bertarikh 17 Januari lalu yang dikongsi di laman Facebook pada Isnin.

Surat pekeliling itu dihantar kepada Ketua Setiausaha semua kementerian, semua ketua jabatan peringkat persekutuan, setiausaha kerajaan negeri serta ketua badan berkanun di peringkat persekutuan, negeri dan kerajaan tempatan.

Menurut surat itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), 14 Januari lalu telah meminta supaya semua penjawat awam berbuat demikian.

“Sehubungan itu, kerjasama semua adalah dimohon untuk memastikan seluruh warga kementerian dan agensi melakukan pendaftaran serta pengemaskinian di portal PADU melalui pautan https://padu.gov.my.

“Untuk makluman, Kementerian Ekonomi telah diberi tanggungjawab untuk memantau dan memastikan kelancaran proses pendaftaran tersebut.

“Kerjasama dan komitmen semua berhubung perkara ini amat penting serta diperlukan bagi menjayakan inisiatif PADU,” katanya dalam surat pekeliling itu.

Pendaftaran PADU dibuka kepada orang ramai bermula 2 Januari lalu hingga 31 Mac ini, dengan pengguna boleh mengemas kini dan mengesahkan butiran peribadi termasuk nombor kad pengenalan, bilangan isi rumah dan alamat kediaman.

Ia bertujuan meningkatkan kecekapan perancangan dasar dan pengagihan sumber, terutama pengagihan subsidi dan bantuan kerajaan yang lebih bersasar kepada rakyat yang benar-benar layak.

Sistem PADU dibangunkan melalui kepakaran dalaman Kementerian Ekonomi, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) dengan kerjasama serta sokongan pelbagai kementerian, agensi dan kerajaan negeri.

Semua rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas perlu mendaftar dan membuat semakan data menerusi portal PADU, serta mengemas kini dan mengesahkan 39 maklumat diri yang diperlukan.

 

 

Author

Pilihan Editor