CYBERJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Kementerian Pendidikan untuk melihat semula sistem prasekolah dengan berikutan kemerosotan prestasi pelajar di negara ini yang dicatatkan dalam skor Program Pentaksiran Pelajar Antarabangsa (PISA) 2022.
“Saya mulakan dengan berita yang agak kurang menyenangkan tentang laporan PISA. Tetapi ini juga terkait dengan lain-lain termasuk infra digital, kurikulum dan prasekolah.
“Dalam semua kategori ini kita agak ketinggalan sebab itu saya telah gesa Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek supaya melihat semula sistem prasekolah,” katanya memetik Kosmo! Online.
Kata Anwar, perkara itu harus dilaksanakan dalam tempoh yang singkat agar mutu pendidikan dapat ditingkatkan untuk semua lapisan masyarakat.
“Kalau kita katakan sebanyak 80 peratus (pelajar) yang masuk pra sekolah dengan kategori berbeza, mungkin 40 peratus baik, selebihnya pertengahan dan sekitar 20 peratus amat lemah. Tak sampai 50 peratus (yang baik).
“Maknanya jika kita bicarakan dalam soal keadilan. Kita sebenarnya melebarkan jurang di antara antara kota, desa dan pendalaman.
“Sebab itu pesan saya, pastikan tahun 2024 kita dapat sediakan kemudahan tambahan supaya peluang prasekolah dapat diberikan kepada semua pelajar dalam negara,” jelasnya.
Walaupun usaha itu dipercayai akan menelan belanja baharu, Anwar memaklumkan, bidang pendidikan secara umumnya menerima peruntukan tertinggi menerusi Belanjawan Madani.
“Sekali lagi kita bermula dengan asas. Tahun 2023 kita belanja RM1 bilion untuk perbaiki tandas. Bayangkan kita di dewan yang indah ini tetapi anak-anak kita belajar di sekolah sekolah yang dianggap daif walaupun sekolah itu sekolah hebat,” tambahnya.