CYBERJAYA: Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) tampil menjelaskan bahawa telah mengambil tindakan sewajarnya dalam menangani isu sebuah Perodua Bezza yang didakwa rosak selepas lapan jam digunakan.
Ketua Pegawai Operasinya, JH Rozman Jaafar berkata, pihaknya sudah berkomunikasi dengan pelanggan berkenaan sejak Oktober tahun lalu berhubung masalah tersebut.
Menurutnya, beberapa langkah turut diambil bagi menyelesaikan isu terbabit termasuklah dengan menawarkan kereta sementara digunakan serta pilihan untuk membeli semula kereta berkenaan.
“Perodua juga telah memberi jaminan kepada pelanggan berkenaan untuk mengutamakan kes beliau dan ingin menepis dakwaan bahawa tiada sebarang tindakan diambil oleh pihak syarikat untuk menyelesaikan isu ini.
“Siasatan menyeluruh berhubung isu ini sedang dijalankan dan kami akan berkongsi maklumat lanjut mengenainya selepas ia selesai,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Dalam pada itu, JH Rozman turut memohon maaf atas kesulitan yang timbul dan mengucapkan terima kasih atas kerjasama yang diberikan.
Sebelum ini, tular di media sosial seorang wanita meluahkan rasa kecewa kerana Perodua Bezza yang baru dibeli hanya sempat digunakan selama lapan jam sebelum rosak dan dibiar tersadai di pusat servis.
Menurut perkongsian wanita itu yang dikenali sebagai Nagakanni Subramaniam, dia amat kecewa kerana masih perlu membayar ansuran bulanan seperti biasa selain permintaannya untuk mendapatkan kenderaan baru daripada pihak Perodua juga tidak berjaya.