HomeBeritaSanggup patah balik ternampak kelibat 'pak belang' di Kampung Kuala Kenering

Sanggup patah balik ternampak kelibat ‘pak belang’ di Kampung Kuala Kenering

 

GERIK: Kelibat harimau belang kelihatan di Jalan Baling-Kuala Kangsar berdekatan Kampung Kuala Kenering, Kenering di sini, malam tadi.

Saksi kejadian, Mohammad Jalil Md Rodzi, 32, ketika dihubungi berkata, dia melihat sendiri kelibat harimau berkenaan tidak jauh dari sebuah premis kedai makan di Kampung Kuala Kenering ketika perjalanan bersama keluarganya ke kedai makan terbabit.

Katanya, kelibat harimau itu pada mula disedari oleh isterinya yang turut berada bersama dua anak mereka di dalam kereta yang dipandunya ketika itu dari kediaman mereka di Felda Lawin Selatan di sini, kira-kira 8 malam tadi.

“Ketika memandu di jalan utama, isteri tiba-tiba mengatakan ada terlihat seperti harimau belang, jadi saya sanggup berpatah balik untuk memastikan sendiri sama ada benarkah apa yang dilhat isteri adalah harimau belang atau binatang lain.

“Jadi memang betul saya nampak ia memang harimau belang. Pada masa itu juga ada sebuah kereta lain berhenti berdekatan lokasi penampakan harimau itu untuk merakam visualnya dengan kelakuan harimau terbabit sewaktu itu dilihat tidak agresif.

“Sempat juga saya merakam visual harimau itu, namun tidak berapa jelas kerana ketika saya tiba harimau itu sudah menjauhi lokasi berkenaan. Gambar yang saya lampirkan pada hantaran di Facebook adalah yang saya perolehi dari individu di dalam kereta itu,” katanya ketika dihubungi, malam tadi.

Menurutnya lagi, berdasarkan maklumat dari beberapa rakannya yang tinggal di Kampung Malau yang tidak jauh dari situ, kawasan itu juga sememangnya pernah gempar dengan kemunculan ‘pak belang’ terbabit, sejak bulan lalu.

“Kampung berkenaan juga gempar apabila petang tadi (semalam) apabila seekor anjing yang menjaga kawasan kebun dilihat cedera dipercayai berjaya lolos dari serangan harimau,” katanya.

Sementara itu, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak mengesahkan menerima laporan kemunculan seekor harimau belang itu.

Pengarah Perhilitan Perak, Yusuff Shariff ketika dihubungi malam tadi berkata, susulan aduan berkenaan, pihaknya menghantar kakitangan untuk meninjau serta menyiasat perkara itu. – Harian Metro

 

Author

Pilihan Editor